Saturday, December 10, 2011

Zuriat sulung Along, Shuib Raja Lawak

SITI SARAH dan Shuib bakal muncul dengan single duet mereka, Cinta Itu Nyawa.
ALONG dapat merasakan kesakitan yang dialami Zila ketika melahirkan cahayamata sulung mereka, Ahmad Danial.


TERNYATA rezeki Along Cham bukan sahaja murah dalam bidang seni tetapi juga kehidupan peribadinya. Terbaru, dia baharu sahaja menimang cahaya mata lelaki pada 12 November lalu setelah mendirikan rumah tangga pada 23 Januari tahun lalu.
Biarpun pada mulanya pelawak kelahiran program Raja Lawak ini dikhabarkan bakal menimang cahaya mata kembar, namun, Tuhan lebih menyanyangi seorang daripada anaknya itu.
Tidak menyalahkan takdir, Along berkongsi pengalaman sedihnya mengenai isterinya, bekas peserta Akademi Fantasia 4, Zila atau Azilah Seeron Nur, 22,yang keguguran seorang anak mereka ketika kandungan baru mencecah dua bulan.
“Ketika kejadian kami berada di Genting Highlands untuk Anugerah Bintang Popular tahun lalu. Akibat tekanan tempat tinggi dan kandungan Zila masih belum kuat iaitu dua bulan. Seorang daripada anak kami meninggal di dalam kandungan,” katanya sedih namun gembira dengan kelahiran anak lelakinya yang dinamakan sebagai Ahmad Danial.
Terlalu gembira dengan kelahiran anak sulungnya itu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 28, berkongsi video kelahiran putera sulungnya dan Zila, kepada media di kala pertemuan selepas sidang media Anugerah Bintang Popular 2011 di Holiday Villa, Subang.
Malah, air mata pelawak itu tertumpah tatkala melihat dan memangku anaknya Ahmad Danial.
“Alhamdulillah Zila selamat melahirkan anak kami yang seberat 2.55 kilogram itu di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor. Memang saya menangis kegembiraan apabila melihat Ah mad Danial lahir. Patutlah syurga di bawah telapak kaki ibu.
“Baru saya tahu betapa sukarnya seorang ibu yang melahirkan anak. Zila hampir pengsan ketika meneran,” katanya kini lebih menghargai isteri dan ibunya selepas melihat kesengsaraan yang dialami mereka ketika melahirkan anak.
Biarpun sibuk, Along sering berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk berjumpa isteri dan anaknya yang sedang berpantang.
Tegasnya, setelah menjadi bapa dia perlu lebih bekerja keras untuk membesarkan anaknya.
Bercerita tentang nama Ahmad Danial, kata Along yang merupakan pelakon utama Alamak Toyol itu, nama tersebut dipilih oleh pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.
“Saya tanya pada Datuk Fadzilah Kamsah nama apa yang sesuai dan elok diberi kepada anak saya. Kata dia, tahun ini elok sekiranya cari nama yang berkaitan dengan nama nabi atau pemimpin di zaman Rasulullah,” katanya yang memanggil nama Ahmad Danial sejak anaknya itu masih di dalam kandungan lagi.
Mungkin sebab nama tersebut biasa dipanggil Along, menurutnya, anaknya itu kini akan bertindak diam tatkala namanya disebut Along ketika dia menangis.
Uwais Alqarni
Sementara itu, penyanyi lagu Kesetiaan, Siti Sarah Raisuddin, 27, dan suaminya anggota Sepahtu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 27, juga baru sahaja menimang cahaya mata lelaki pada 4 Disember lalu di Hospital Pakar Ampang Putri, Selangor.
Biarpun kelahiran anak mereka dilakukan secara pembedahan kerana dikatakan jantung bayi dalam kandungan Siti Sarah lemah, namun tiada apa yang lebih menggembirakan pasangan ini saat bayi comel yang diberi nama Uwais Alqarni selamat dilahirkan pada pukul 10.19 pagi.
Shuib ketika dihubungi Kosmo! melahirkan rasa syukur dan merasakan kehadiran cahaya mata sulung berkenaan umpama tuah yang menyinari hidup mereka pada masa kini dan akan datang.
“Dialah tuah saya dan Sarah untuk tahun 2011. Kehadirannya memberi saya semangat dan inspirasi untuk lebih maju di masa akan datang terutama tahun 2012 yang bakal menjelang.
“Memang pada asalnya saya nak letak nama dia Tuah Uwais Alqarni sebab saya menganggap kelahirannya merupakan tuah saya dan Sarah tetapi disebabkan maksud nama asalnya lari jadi saya mengekalkan nama Uwais Alqarni sahaja,” kata Shuib mengenai nama anaknya yang dipilih bersempena nama seorang lelaki yang hebat dan gagah di zaman Rasulullah.
Shuib juga menganggap Uwais tuah kerana ketika Siti Sarah mengandungkan anaknya itu, dia bersama kumpulan Sepah berjaya memenangi pertandingan Maharaja Lawak.
Malah, selepas Uwais lahir, rezeki Shuib dalam bidang lakonan dan nyanyian bersama kumpulan Sepahtu mencurah-curah.
“Memang betul orang cakap rezeki anak. Ketika Sarah mengandung sehinggalah Uwais lahir rezeki saya dan Sarah tak putus-putus.
“Sekarang, saya banyak menerima tawaran lakonan solo. Salah satunya adalah telefilem Astro berjudul Bila Shuib Speaking London. Saya juga sekarang sedang merakam lagu untuk Sepahtu bersama Jep dan mengadakan persembahan di beberapa negeri,” tuturnya.
Tambah Shuib: “Single saya dan Sarah berjudul Cinta Itu Nyawa juga sekarang dalam proses mixing,” ujarnya-Kosmo!


No comments: