Thursday, December 1, 2011

Saya memang anak emak-Zizan

POPULARITI yang dikecapi Zizan hari ini tidak datang bergolek dan semuanya berkat doa ibu tercinta.
 

KALAU dihitung jumlah tahun pembabitan Zizan dalam bidang seni, memang boleh dikatakan masih baru dan hijau.

Tetapi, populariti yang dikecapi dalam tempoh lima tahun yang dilaluinya sebagai anak seni sememangnya cukup membanggakan.

Sehinggakan ada yang berbisik dan mengkhabarkan bahawa Zizan kini merupakan salah seorang pelawak yang semakin tinggi nilainya.

Apa yang membanggakan, Zizan juga sudah mampu berdiri setanding dengan pelawak senior yang lain.
Namun, bagi diri anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, dia tidak pernah melihat dirinya dalam kedudukan tertinggi.

Sebaliknya, dengan penuh rendah diri Zizan memberitahu dia sentiasa berpijak di bumi nyata kerana sedar bahawa apa yang dimilikinya hari ini sebenarnya juga sebahagian daripada ujian Allah SWT.

“Biarpun orang melihat saya sebagai seorang yang popular, tetapi jauh di sudut hati saya ini, hakikatnya saya masih Zizan yang sama.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip hidup saya untuk tidak menjadi seorang yang bermegah-megah dengan kejayaan hari ini.

“Apa yang saya lalui selama hari ini semuanya tidak pernah datang bergolek. Ia adalah hasil daripada usaha dan kerja keras saya.

“Apa yang penting juga, saya tidak akan sesekali melupakan semua pesanan dan nasihat ibu saya yang merupakan azimat untuk saya meneruskan kehidupan,” jelas anak muda berusia 27 tahun itu dalam nada bersungguh.

Naib juara Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007 itu berkata demikian sewaktu ditemui di lokasi penggambaran filem terbarunya, Mael Lambong di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak mengakui, cabaran dan dugaan sebagai seorang artis cukup besar terutama untuk seorang pelawak sepertinya.

Katanya lagi, jika tidak dikuatkan iman, tidak mustahil dirinya mampu tersasar jauh dari landasan dan pegangan hidup.

Mendengarkan kata-katanya itu, Hits terus mengajukan soalan kepada Zizan apakah pernah terdetik di hatinya untuk menjadi seorang ‘budak nakal’ dengan statusnya sebagai artis popular itu.
Semangat ibu

“Saya tahu setiap kali apabila memperkatakan tentang dunia hiburan, konotasi negatif itu memang tidak dapat lari seperti kaki perempuan, kaki botol, kaki disko, dadah dan lain-lain lagi.

“Seperti mana yang saya katakan tadi, kalau iman kita tidak kuat, memang kita mampu menjebakkan diri melakukan perkara-perkara yang tidak elok.

“Saya tidak malu untuk mengaku yang saya ini memang anak emak. Apa saja yang saya lakukan, saya akan memikirkan emak saya kerana dia merupakan tulang belakang kepada kejayaan saya hari ini.

“Di kala saya sedih dan berduka, ibu saya menaikkan semangat saya dengan kata-kata perangsang. Apa saja berita saya keluar di akhbar, dia akan menelefon dan memberi nasihat.

“Ada kala saya dipermainkan oleh teman-teman lain kerana dikatakan mahu menjadi seorang yang cuba hendak tunjuk baik. Tetapi, saya tidak dapat membohong diri saya kerana ini adalah diri saya yang sebenar,” jelas Zizan yang dilahirkan pada 15 April 1982 itu panjang lebar.

Dengan penuh terbuka juga, bintang filem KL Gangster dan Hantu Bonceng itu mengaku, dia tidak pernah melibatkan dirinya melakukan perkara yang mampu merosakkan reputasinya seperti bersantai di kelab malam dan berpeleseran tanpa hala tuju.

Pernah juga dia mencuba menghabiskan masa di kelab malam untuk berhibur. Tetapi terus terang dia mengatakan jiwanya bukan ke arah itu.

Kalau ada waktu senggang sekalipun, Zizan lebih selesa berehat di rumah sambil ditemani kucing peliharaannya.

“Saya memang suka menari dan pernah ke kelab malam untuk sekadar melepaskan tekanan. Tetapi, saya tidak boleh lama di situ kerana sesak nafas saya dibuatnya (ketawa).

“Bukan itu sahaja, demi menjaga kesihatan juga, saya sendiri sudah berhenti merokok hampir dua tahun lalu. Seandainya ada yang tidak percaya dengan kisah saya ini, saya tidak boleh berbuat apa-apa,” ujar pemilik trofi Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular 2010 ini tanpa selindung.

Tidak menyesal
Barangkali ramai yang tidak tahu bahawa bukan mudah sebenarnya untuk menjadi seorang anak seni kerana ia memerlukan pengorbanan yang besar. Apatah lagi yang popular dan ternama seperti Zizan.

Dalam pertemuan itu juga, penulis sempat bertanyakan kepadanya, apakah pernah terbit rasa menyesal di hatinya apabila memilih jalan seni sebagai punca pendapatannya?

Diam seketika sebelum memberikan jawapan, Zizan menjelaskan, penyesalan tidak pernah ada dalam dirinya sepanjang lima tahun menjadi seorang anak seni.

“Saya sendiri memilih untuk menjadi seorang artis dan maka itu, saya harus bersiap-sedia menghadapi segala kemungkinan. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya juga begitu menjaga kehidupan privasi saya.

“Peminat dan penyokong saya telah meletakkan saya di tahap seperti mana hari ini dan saya mencuba sedaya-upaya untuk memuaskan hati mereka.

“Walaupun ada ketika saya sedang berehat atau makan di luar, mereka akan datang kepada saya untuk bergambar. Tetapi, saya akan meminta secara baik untuk diberi masa sehingga saya menghabiskan apa yang sepatutnya.

“Saya percaya kalau kita berdiplomasi dengan peminat mereka akan faham dan menghormati kita. Artis juga sama seperti orang lain kerana mereka mempunyai kehidupan sendiri,” ujar Zizan yang juga selesa digelar Zizan Razak selain Zizan Raja Lawak.

Dalam masa yang sama, Zizan juga menafikan dirinya sudah sah menjadi wajah eksklusif Astro bersama sahabatnya, Johan.

Namun begitu, Zizan tidak menafikan bahawa stesen berbayar itu ada menyuarakan hasrat untuk berbincang soal tersebut tetapi tiada perkembangan lanjut.

“Kalau benarlah perkara ini terjadi, saya mahu melihat prospek kerjaya saya dalam konteks yang lebih luas lagi. Saya tidak mahu terikat hanya sebagai pelakon tetapi juga cabang seni lain,” kata Zizan yang juga pengacara Raja Lawak selain berbakat dalam menyanyi atau lebih tepat, rapping.
 

2 comments:

Hanis Azla said...

semoga zizan terus berjaya dgn mengekalkan reputasi yg baik itu..

Jendela Hati said...

itu la moga2 ye hendaknye