Tuesday, December 20, 2011

Pop yeh yeh, irama 60-an berbeza


Lirik ringkas, dekat dengan kehidupan manusia jadi rahsia diterima peminat 

SEBUT saja lagu Tak Mengapa pasti kita terbayangkan wajah serius penyanyi popular era pop yeh yeh, Datuk A Rahman Hassan, menyanyikan lagu malar segar itu sambil menggoyang-goyangkan sedikit bahu dan melenggokkan kepalanya. Gaya persembahan itu memang sinonim dengan dirinya dan diingati peminat sampai sekarang.



Bukan sekadar gaya nyanyiannya yang menjadi ingatan, malah cara berpakaian penyanyi ini juga menjadi ikutan ramai, terutama remaja dan belia yang sama-sama ‘dewasa’ bersama lagu dendangannya, seperti Perpaduan Hidup. Semoga Berjaya dan Jejaka Idaman. Malah, ada remaja ketika itu sanggup mencuri identiti A Rahman untuk memikat anak dara yang menggilai bakat seni itu, dek penangan lagu berhantunya.
Bertemu empunya diri pada Sidang Media Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh, baru-baru ini, A Rahman sempat mengimbau kembali zaman kegemilangan dirinya serta barisan kumpulan gitar rancak (kugiran) pada era itu. 

Katanya, irama pop yeh yeh pernah mati satu ketika dulu dengan kedatangan lagu era 70-an, yang antara lain melonjakkan nama besar seperti Hail Amir, Uji Rashid dan D J Dave. 

“Lagu irama pop yeh yeh pernah mati selama 15 tahun, tetapi dengan berbekalkan semangat yang ada, ia bangkit kembali sehingga diingati sampai kini. 

“Saya mahu tekankan di sini bahawa irama yang kami bawa adalah pop yeh yeh dan bukannya irama 60-an. Kedua-duanya berbeza. Irama 60-an dibawa artis seperti Allahyarham Rafeah Buang dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais. Ini kerana lagu pop yeh yeh lebih menjurus kepada irama yang didendangkan artis barat seperti The Beatles, Shadow dan Rolling Stones. Ia irama yang sangat rancak dan bertenaga,” katanya sambil memberitahu, irama berkenaan melonjak naik kerana dibantu pihak media serta Radio Televisyen Malaysia (RTM), melalui siaran radio milik mereka.

 
Berkongsi rahsia irama itu cepat diterima masyarakat dan segar sepanjang zaman, dia memberitahu, lirik lagu pop yeh yeh terlalu ringkas dan dekat dengan kehidupan manusia. 

“Peminat masih mahu irama yang kami perjuangkan selama ini dan saya tidak pernah menyalahkan media ketika pop yeh yeh mengalami zaman kejatuhan. Ini kerana pernah satu ketika media datang membantu kami dengan mengeluarkan cerita satu persatu penyanyi era berkenaan. Saya sangat berterima kasih dan berharap sokongan yang sama dapat terus diberikan,” katanya. 

Gembira kerana lagu mereka bukan saja diminati golongan dewasa bahkan remaja, A Rahman berkata, amat mudah untuk mengenali irama mereka kerana melodinya menggabungkan antara tiga gitar, dram dan organ. 

“Tiga instrumen itu sangat penting. Jika tiada, maka rosaklah lagu pop yeh yeh. Kadang-kadang ada kugiran yang menggunakan organ atau sekarang dipanggil keyboard,” katanya yang menyanyikan lagu Semoga Berjaya pada sidang media itu dengan penuh bertenaga. 
Persembahan bersama rakan lama 

BERCERITA mengenai dirinya yang kekal sihat dan bertenaga, A Rahman berkata, ia adalah anugerah daripada Tuhan. Dia juga tidak terlalu menjaga suara seperti penyanyi yang lain. 

“Syukur suara saya masih seperti dulu. Saya tidak amalkan apa-apa dan makan apa saja yang saya diinginkan. Mungkin ia anugerah Tuhan dan saya menghargainya sebaik mungkin,” kata bapa kepada pelakon serba boleh, Khir Rahman ini. 

Kata lagi, dia kini menjadi Pengerusi Kelab Kebajikan Artis Pop Yeh Yeh dan setakat ini kelab itu diperkuatkan 30 keahlian, termasuk di Singapura. 

“Kami akan menjalankan pelbagai aktiviti bersama, dalam bidang nyanyian dan sebagainya. Menjadi harapan saya agar kami yang terbabit dalam industri ini sentiasa diingati dan lagu kami terus diminati,” katanya bersungguh-sungguh. 

Sementara itu, berbicara soal konsert yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 20 Januari depan, penyanyi ini berkata tentunya dia amat gembira apabila diundang oleh penganjur dan Istana Budaya untuk mengadakan persembahan bersama rakan lama. 

Selain dirinya dan isteri, Datin Azizah Muhamad, bersama Orkes Nirwana, artis dan kumpulan lain yang akan mewarnai konsert itu ialah The Singlap Five, Datuk Jeffrydin, A Halim & D’ Fiction, J Sham & The Wanderers, A Rahman Onn & The Strangers dan Datuk L Ramlie (Orkes Teruna Ria). 

“Lagipun, istimewanya konsert ini apabila kami membuat persembahan di Istana Budaya, satu tempat yang berprestij, selain tampil dengan kumpulan kugiran lama seperti Orkes Teruna Ria, Orkes Nirwana serta The Wanderers,” katanya sambil memberitahu lebih 20 lagu akan dinyanyikan mereka pada konsert berkenaan. 

Tiket konsert berharga antara RM60 hingga RM320 boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz atau hubungi talian 017-2211608 untuk pertanyaan.-BH online.




No comments: