Wednesday, December 14, 2011

Penat Layan Gosip, Nabil Akui Tetap Sibuk


Ahmad Nabil Ahmad
PETALING JAYA: Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 28, atau Nabil mengakui semakin tenang dan bahagia selepas hampir tiga bulan bergelar suami kepada Nazirah Ayub, 23.
Juara program Raja Lawak musim kedua itu berkata pengalaman melayari alam rumah tangga telah banyak mengubah kehidupannya yang sebelum ini kurang terurus dan berserabut.
“Alhamdulillah, saya berasa semakin bahagia dengan kehidupan hari ini. Jika sebelum berkahwin, kehidupan saya kurang teratur tetapi sejak ada isteri, semuanya semakin lancar dan teratur.
“Keutamaan saya kini adalah pada keluarga dan kerja. Malah, saya juga berdoa dan berusaha agar segera dikurniakan anak,” katanya kepada mStar Online, Rabu.
Ditanya mengenai perkembangan dirinya yang dilihat agak sepi daripada publisiti kebelakangan ini, Nabil berkata keadaan tersebut berlaku secara semula jadi ekoran kesibukannya dengan komitmen keluarga dan kerja.
“Bukan saya sengaja mendiamkan diri atau mengelak daripada sebarang publisiti, cuma buat masa ini saya senang untuk menumpukan perhatian pada keluarga dan kerjaya.
“Sebenarnya, saya sudah penat melayan pelbagai gosip dan cerita panas sebelum ini. Sekarang, saya suka untuk berkongsi cerita yang baik-baik tentang kerja dan keluarga saja,” katanya.
Pelakon yang bakal muncul dalam filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur pada 19 Januari depan ini berkata dia juga sedang sibuk dengan sesi latihan teater tradisional anjuran Petronas berjudul Mek Mulung yang akan dipentaskan pada 16 hingga 18 Disember ini.
“Mungkin antara sebab saya agak sepi dan senyap kebelakangan ini adalah kerana komitmen teater Petronas berjudul Mek Mulung. Jadual latihan juga sangat padat dan tidak tentu masa.
“Apabila pihak Petronas menawarkan saya watak Awang Pengasuh untuk teater ini, saya teruja untuk menerimanya kerana ingin memantapkan profil lakonan,” katanya yang akan kembali dalam musim terbaru teater Cuci The Musical pada Februari depan.
Nabil dan isterinya yang juga bekas pramugari AirAsia bernikah pada 30 September lalu di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.

No comments: