Thursday, December 8, 2011

Juara Lagu 26 ~ Terbaik atau popular




BARISAN karyawan lagu-lagu popular dendangan masing-masing yang bakal berentap pada final AJL 26.



SELEPAS tiga minggu 30 buah lagu berentap dalam separuh akhir Muzik Muzik ke-26, akhirnya hanya 12 buah lagu yang mara ke final Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL 26).
Minggu lalu menyaksikan pengumuman senarai peserta yang mara ke final dan keputusannya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sudah dapat diramal daripada awal.
Semua lagu yang layak ke peringkat final merupakan lagu yang popular dan sering diputarkan di corong radio terdiri daripada Kisah Hati (Alyah), Awan Nano (Hafiz), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia/Monoloque), Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Sungai Lui (Aizat), Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol),
Tidak ketinggalan Kalau Berpacaran (Sohaimi Mior Hassan/Ana Raffali/ Altimet), Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Karma (Faizal Tahir) dan Yuna dengan dua buah lagu ciptaannya sendiri iaitu Gadis Semasa dan Penakut.
Menurut ketua juri, Azhar Borhan, kesemua lagu yang dipilih layak bertanding ke peringkat final kerana memiliki kelebihan yang tersendiri. Lagu-lagu untuk AJL 26 juga katanya tidak banyak beza dengan beberapa tahun kebelakangan ini.
“"Dua, tiga tahun kebelakangan ini sudah menjadi trend angkatan muda yang banyak masuk bertanding, bagi saya itu satu trend yang bagus. Tetapi tidak ketinggalan komposer berpengalaman seperti Datuk M. Nasir dan Audi Mok dilihat masih relevan untuk muzik hari ini,” ujarnya.
Persoalan timbul bagaimana setiap lagu dinilai memandangkan kesemua lagu yang dipilih merupakan lagu popular dan adakah mungkin pihak TV3 mempunyai agenda untuk menaikkan rating program lantas memilih hanya lagu-lagu yang popular di radio termasuk lagu Cinta Muka Buku yang disifatkan terlalu ringkas.
“Secara jujurnya, kesemua lagu dinilai malam sebelum pertandingan dan kebanyakan juri termasuk saya mendengar kebanyakan lagu yang bertanding buat pertama kalinya. Jadi, kami tidak tahu sama ada lagu itu popular di radio atau tidak.
“Kami menilai daripada segi kualiti sesebuah lagu bukannya populariti. Lagu Cinta Muka Buku, saya dengar pertama kali ketika sesi penjurian, ia sebuah lagu yang ringkas dan rancak dan lagu tersebut layak bertanding,” jawabnya lagi.
Penyanyi Yuna merupakan fokus utama pada malam keputusan final AJL 26 selepas kontroversi pemulangan semula trofi Anugerah Industri Muzik ke-18 untuk Anugerah Lagu Terbaik yang sebelum ini dimenangi lagu Penakut kepada lagu dendangan Anuar Zain, Sedetik Lebih kerana kesalahan pengiraan markah oleh pihak audit AIM 18.
Ternyata tuah mengiringi penyanyi dan komposer berbakat ini apabila bukan sahaja Penakut tetapi Gadis Semasa turut layak ke peringkat final AJL 26.
“Saya bersyukur, dua buah lagu saya layak ke final. Memang saya menaruh harapan tetapi saya tidak jangka langsung kedua-dua lagu saya layak ke final. Saya meletakkan sepenuh hati saya ketika separuh akhir dan gembira dengan penerimaan juri dan orang ramai terhadap muzik saya.
“Seperti yang katakan sebelum ini, Penakut merupakan lagu eksperimen dan tidak jangka orang ramai menerimanya. Apapun saya cukup gembira dengan keputusan ini dan akan melakukan yang terbaik pada final,” jawabnya.
Tambah Yuna, meskipun kontroversi terpalit untuk lagu Penakut, namun dia tetap bersyukur kerana kontroversi yang melanda lagu itu, kini dia memperoleh lebih ramai peminat baru.
Kontroversi Cinta Muka Buku
Lagu Cinta Muka Buku juga menjadi perhatian disebabkan ia ringkas dan komposernya yang juga penyanyi lagu tersebut Najwa Latif yang baru berusia 16 tahun. Lagu itu diakui cukup popular, namun ramai yang mempersoalkan bagaimana lagu itu layak ke final AJL 26 mengalahkan lagu-lagu lain yang dirasakan lebih kuat auranya.
Najwa mengatakan dia cukup terkejut ketika lagu ciptaannya dan lirik ditulis oleh kakaknya Ika Latif diumum layak final. Sebelum itu, dia tidak terfikir langsung untuk masuk bertanding ke AJL 26.
“Saya sangat bersyukur dan terkejut. Saya sedar diri saya masih muda dan banyak yang perlu dipelajari. Walaupun ramai yang seakan-akan menentang keputusan juri untuk lagu Cinta Muka Buku saya reda dan akan cuba melakukan yang terbaik.
“Saya ada keluarga yang sentiasa menyokong kerjaya saya dan saya hanya mengambil perkara yang positif mengenai keputusan ini. Saya tahu AJL sebuah pertandingan yang besar dan saya bertuah kerana dapat berada di pentas AJL dalam usia yang cukup muda,” katanya yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan pentas.
Tepati ramalan
Penyanyi Jaclyn Victor yang layak ke final untuk dua buah lagu iaitu lagu Beribu Sesalan bersama Shila Amzah dan Ning Baizura serta lagu ‘berhantu’ Sedetik Lebih dendangan asal Anuar Zain.
“Kedua-dua buah lagu mempunyai keistimewaan dan cabaran yang tersendiri. Antara dua buah lagu saya akui saya lebih tertekan ketika mendendangkan lagu Sedetik Lebih nyanyian asal Anuar Zain. Semua orang tahu betapa bagusnya Anuar Zain dan dia memang cukup sinonim dengan lagu itu.
“Dalam fikiran saya, bolehkah orang terima dan mampukah saya bawa lagu tersebut dengan baik. Saat ditawarkan untuk menggantikan Anuar, saya rasa ia satu penghormatan kerana lagu itu memang sukar.
“Saya juga gementar ketika menyanyikan lagu itu di atas pentas kerana inilah kali pertama saya menyanyikan secara langsung lagu Sedetik Lebih dihadapan orang ramai,” tutur Jaclyn.
Tidak sah jika setiap tahun kelibat penyanyi Faizal Tahir tidak muncul di AJL sejak AJL 23.
Menepati ramalan, menerusi sebuah lagu berjudul Karma, Faizal layak dengan mudah. Faizal yang sibuk menyiapkan album terbaharunya memberitahu, tahun ini dia tidak akan membikin sebarang gimik ‘gila’ seperti terjun ke dalam air seperti tahun lalu.
“Saya gembira kerana lagu Karma layak bertanding, bagi saya dapat masuk ke final merupakan satu bonus. Saya tidak tahu bagaimana persembahan saya nanti tetapi apa yang pasti saya tidak akan membikin sebarang gimik gila kerana saya tidak mahu anak saya menonton ayahnya melakukan sesuatu yang gila di televisyen,” ujarnya.
Persaingan sengit
Sementara Aizat yang merupakan juara AJL 24, tahun ini merupakan tahun ketiganya layak ke final AJL. Layak menerusi lagu Sungai Lui ciptaannya bersama abangnya Anas, Aizat bersyukur dan berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik.
“Menang kalah itu adat pertandingan. Walaupun pernah jadi juara tetapi persaingan tetap sengit, ada lagu yang saya jangka akan ke final tetapi tidak layak. Jadi, saya tidak dapat ramalkan apa yang juri fikir dan nilai. Apa sahaja boleh terjadi dan saya akan memberi persembahan yang baik untuk peminat dan penonton,” katanya.
Penyanyi veteran, Sohaimi Moir Hassan yang layak ke final menerusi lagu kolaborasinya, Kalau Berpacaran menyambut keputusan juri dengan gembira kerana sepanjang bergelar penyanyi inilah pertama kali dia melangkah kaki ke pentas AJL.
“Ketika zaman saya aktif menyanyi AJL tidak wujud lagi, selepas saya tidak menyanyi lagi, baru program ini muncul. Sekarang, selepas beberapa dekad, saya merupakan penyanyi paling tua dalam AJL 26. Apa pun saya memang cukup gembira kerana terlibat dalam AJL,” kata Sohaimi.
Kemaraan penyanyi Alyah menerusi lagu Kisah Hati ciptaan Manusia Putih turut menepati ramalan. Meskipun masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan penyakit apendiks yang dijalaninya tidak lama dahulu, vokal Alyah masih lagi bagus seperti sedia kala.
“Saya tidak boleh terlalu aktif menyanyi, banyak persembahan pentas saya tidak ambil buat masa ini kerana doktor menasihatkan saya untuk banyak berehat.
“Menyanyi menggunakan kekuatan daripada perut dan saya baru lepas membuat pembedahan apendiks, memang kadangkala menahan sakit ketika menyanyi. Alhamdulillah, saya dapat mara ke final dan kini saya akan fokus untuk persembahan final AJL 26,” tutur Alyah.
Siapa yang akan memenangi lagu terbaik pada AJL 26 hanya akan diketahui pada malam final yang akan berlangsung pada 29 Januari tahun depan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur-Kosmo
p.s- Aritu teruja bila Hazama masuk top5. Bila Hazama tak ade nie, teruja tu dah kurang sikit... tapi ok lah sebab lagu Awan Nano dan Sungai Lui ada masuk...huhu



3 comments:

Totie@Tomy said...

tak tahu dapat tengok ker tak juara lagu ni..hehe takot masuk ward..hehe

wakgelas said...

wak kok sudah lama bener nggak nonton Juara Lagu tuuuu... eeeeE wak dh datang niiii nk komen komennnnn..........

Jendela Hati said...

totie@tomy: tu la nak due dh kan

wak gelas: ala wak JL setahun sekali, bole je layan..