[Gambar: Utusan]
ALOR SETAR 12 Dis. – Pelantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua bermula esok merupakan penghormatan bersejarah dan menjadi kebanggaan bagi seluruh penduduk Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Beliau berkata, seluruh rakyat mendoakan agar baginda dan Sultanah Haminah Hamidun dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta dapat memerintah dengan penuh kedaulatan dan keamanan.
"Akan tetapi, rasa bangga patik-patik sekalian bercampur hiba, berat rasanya hati untuk berjauhan dengan seorang raja pemerintah, tempat sekalian patik bergantung harap selama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Azizan berkata, beliau mewakili seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat berikrar akan taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri itu.
Katanya, agenda kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan rakyat akan terus didokong dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan akan terus dijaga. – Bernama
No comments:
Post a Comment