Monday, December 12, 2011

Chef Riz dan Ana Dahlia Selamat Disatukan




TAIPING, 11 DISEMBER 2011: Juri MasterChef Malaysia, Chef Mohd Nadzri Redzuawan,28 atau Chef Riz telah selamat disatukan dengan pelakon drama, Diyana Mastura Jaafar atau Ana Dahlia,29 di kediaman keluarga pengantin perempuan di Batu 8, Changkat Jering di sini sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

Dengan hanya sekali lafaz, majlis akad nikah telah disempurnakan oleh Kadi Batu Lapan Bendang Siang, Taiping, Ustaz Haji Nawi Osman, dengan mas kahwin RM1,001 dan hantaran berjumlah RM20,000.

Ana Dahlia telah menerima sembilan dulang hantaran berupa sirih junjung, kain French lace, kek, clutch berjenama Farah Khan, jam tangan Guess, cokelat Patchi, buah-buahan, set haruman Davidoff, kaca mata jenama Gucci.

Manakala Chef Riz menerima 15 dulang hantaran yang terdiri daripada jam tangan Guess, i-Pad, BlackBerry, kasut, haruman Davidoff, tali pinggang Gucci, dua pasang persalinan lelaki, clutch Charles& Keith, set penjagaan wajah Biotherm Homme, dua pasang kasut Valentino Rudy.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran bapa Chef Riz iaitu Datuk Chef Wan, ibunya dan juga kakaknya, Serina bersama suami serta ahli keluarga sebelah lelaki yang telah datang secara rombongan dari Kuala Lumpur sejak awal pagi.

Dalam ucapan ringkas sempena perkahwinannya itu Chef Riz berkata, dia sangat gembira dengan perkahwinan itu dan berterima kasih kepada kakaknya, Serina yang telah memperkenalkan dirinya dengan isterinya itu.

Dia juga tidak kisah jika isterinya itu memilih untuk terus terbabit dalam bidang lakonan dan berdoa agar dikurniakan cahaya mata dalam masa dengan segera.

Sementara itu, Datuk Chef Wan ketika ditemui portal murai.com.my melahirkan rasa syukur dengan pernikahan anaknya itu dengan pelakon berkenaan, walaupun tidak menyangka hubungan yang terlalu singkat antara mereka berdua telah berakhir ke jinjang pelamin.

Dia bagaimanapun telah menghadiahkan Chef Riz dengan percutian ke Melbourne Australia sebagai hadiah bulan madu buat mereka berdua.

Kedua mempelai seterusnya diraikan pada majlis bersanding yang diadakan di sebelah malam, diikuti satu lagi resepsi pada sebelah mempelai lelaki pada Ahad depan-Murai.com

No comments: