Thursday, December 29, 2011

Ramai Kata Osbon Bakal Ikut Jejak Sepah


[Credit to Murai.com]


KUALA LUMPUR, 28 DISEMBER 2011: Tinggal dua hari saja lagi, juara Maharaja Lawak Mega (MLM) bakal diketahui. Apa yang pasti, ketika ini, setiap kumpulan sedang memerah otak untuk mengadakan persembahan mantap bagi melayakan diri mereka sebagai juara.


Bagaimanapun, belum pun empat finalis MLM yang terdiri daripada Osbon, Boboi, Saehu dan Syok menjejakan kaki ke pentas akhir, ada desas-desus mengatakan hanya kumpulan Osbon dan Boboi saja yang bakal menduduki takhta juara.


Malah, ada juga yang menyifatkan, kumpulan Osbon yang dianggotai Os dan Abon bakal memenangi program berkenaan dengan mengikuti jejak langkah kumpulan Sepah yang pernah dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak tidak lama dulu.


Dalam erti kata lain, pengikut setia MLM menganggap perjalanan persembahan Osbon dalam MLM sama seperti Sepah menerusi program pencarian pelawak terhebat.


Pun begitu, Os mewakili kumpulan Osbon mengatakan itu hanyalah pandangan ikhlas peminat setia program berkenaan. Malah, penyertaan mereka dalam program itu bukanlah hanya untuk menang semata-mata, tetapi lebih kepada mencari rezeki dan membuat comeback.


"Jika benar peminat melabelkan nasib kami akan sama seperti Sepah, kami bersyukur. Kami mengucapkan terima kasih tidak terhingga. Apa sekalipun, ia terserah kepada rezeki dan kami hanya mahu mempamerkan persembahan yang menghiburkan penonton dan mencapai piawaian program MLM," ujarnya.


Dalam pada itu, Os turut memberikan maklum balas tersendiri berhubung perancangannya seandainya wang kejuaraan bernilai RM350, 000 menjadi milik mereka.


"Setakat ini , kami tidak mempunyai sebarang perancangan. Pun begitu, jika benar ia menjadi milik kami, saya akan up grade teksi saya kepada lebih baik. Ini kerana, dengan teksi itulah saya mencari sesuap nasi untuk anak dan isteri," katanya.

No comments: