Monday, December 12, 2011

Bertemu Upin & Ipin Di Muzium Negara


KISAH dua budak botak yang nakal tetapi bijak bernama Upin dan Ipin kini menjadi satu fenomena terutama di kalangan kanak-kanak di negara ini bahkan hangat diperkatakan di negara-negara jiran termasuk Indonesia.
Bersesuaian dengan musim cuti sekolah, Jabatan Muzium mengadakan pameran bertemakan ‘Jejak Upin dan Ipin’ dengan kerjasama Les’Copaque Production.
Pegawai Perhubungan Media Les’Copaque, Mohd Zarin Abdul Karim berkata, pameran diadakan berikutan sambutan yang menggalakkan terhadap siri animasi itu.
“Kami sering menganjurkan karnival Upin dan Ipin secara bergerak ke seluruh negara sebelum ini namun mendapat permintaan untuk diadakan secara tetap.
“Antara mereka mahu melihat di sebalik pembikinan siri animasi ini menyebabkan kami menghasilkan idea untuk mengadakan pameran yang lebih meluas.
“Secara tidak langsung, ia menjadi aktiviti utama masyarakat seisi keluarga terutama kanak-kanak sempena cuti sekolah,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Mohd Zarin berkata, Les’Copaque memberikan satu kelainan kepada pengunjung di mana selain melawat muzim, mereka juga mendapat maklumat di sebalik industri animasi khususnya pembikinan siri Upin dan Ipin.
“Kami mahu memberikan pengalaman sebenar kepada pengunjung yang selama ini hanya melihat watak-watak animasi menerusi televisyen dan majalah.
“Kebiasaannya ibu bapa sering membawa anak-anak mereka ke taman tema tetapi menerusi pendekatan baru dalam Jejak Upin dan Ipin, kami membantu mereka menyelami suasana itu,” katanya.
Beliau menambah, tarikan khas iaitu replika Rumah Opah memberikan peluang kepada pengunjung merasai pengalaman berada dalam suasana animasi popular itu.
“Selain itu, kami turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik melibatkan maskot Upin dan Ipin termasuk jualan produk jenama animasi itu.
“Pengunjung juga berpeluang untuk bergambar dengan maskot sebagai kenangan musim cuti sekolah akhir tahun,” kata Mohd Zarin lagi.
Pengunjung seolah-olah dibawa berimaginasi mengembara dalam siri animasi Upin dan Ipin di samping mendapatkan maklumat pembikinan dari penulisan skrip, seni konsep, papan cerita, rekaan cerita, karakter sehingga ke rakaman suara.
Pameran Jejak Upin dan Ipin kini berlangsung di Muzium Negara sehingga 31 Disember ini dengan pas masuk RM12 untuk dewasa (pemegang MyKad) dan RM20 (tanpa MyKad) manakala kanak-kanak RM6 (MyKad) dan RM10 (tanpa MyKad).
Setiap pengunjung layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan menyertakan pas masuk dan pemenang akan diumumkan pada setiap Ahad-Mstar
 Sesi beramah mesra bersama maskot Upin dan Ipin.

 Ruang untuk bergambar dengan watak-watak animasi Upin dan Ipin.

Selain pameran dan aktiviti, pengunjung juga berpeluang membeli barangan Upin dan Ipin seperti majalah dan pakaian.

No comments: