Saturday, December 10, 2011

Chef Riz-Ana Dahlia Berdebar Menanti 11 Disember




KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2011: Tinggal beberapa hari saja lagi pelakon, Ana Dahlia, 28, dan Mohd Nadzri Redzuawan atau Chef Riz,30, untuk disatukan sebelum menjelang hari bahagia mereka pada 11 Disember ini.

Meskipun segala perisapan perkahwinan sudahpun hampir siap sepenuhnya, namun debarannya sudah mula dirasai oleh bakal pengantin.

Ditemui portal murai.com.my selepas majlis pelancaran buku masakan Datuk Rezuawan Ismail atau Datuk Chef Wan sempena 25 tahun pembabitannya dalam dunia masakan, Chef Riz yang merupakan anak kepada chef terkenal itu ternyata tidak sabar menanti tibanya hari bahagia berkenaan.

"Gembira dan bedebar-debar rasanya untuk menanti hari bahagia kami. Tapi saya tak sabar untuk berhadapan dengan hari bersejarah iaitu perkahwinan kami itu nanti.

"Harapan saya untuk perkahwinan ini, supaya saya dapat membahagiakan Ana dan membina keluarga harmoni bersamanya, InsyaAllah," katanya yang ditemui selepas pelancaran buku ayahnya itu.

Chef Riz dan Ana Dahlia yang sudah mengikat tali pertunangan pada 5 Oktober lalu dan bakal disatukan di rumah pengantin perempuan yang terletak di Changkat Jering, Taiping, Perak, pada 11 Disember ini.

Manakala majlis di sebelah pihak lelaki pula akan berlangsung di Sungai Koyan, Raub, Pahang, pada 18 Disember ini.

Sementara itu, pelakon filem Mantra, Ana Dahlia pula berkata biarpun dia dan Chef Riz baru berkenalan lapan bulan lalu, namun dia cukup yakin untuk melayar bahtera bersama jejaka tersebut.

"Biarpun perkenalan kami singkat tetapi saya tidak rasa pilihan saya salah kerana saya begitu yakin dengan komitmen yang diberikan oleh Riz terhadap saya.

"Saya dapat melihat keikhlasan yang ada di matanya. Dia adalah satu-satunya kekasih atau lelaki yang benar-benar mahu mengahwini saya biarpun baru pertama kali berjumpa," kata janda cantik itu.

Bercakap mengenai persiapan perkahwinan mereka, Ana Dahlia berkata semuanya berjalan dengan lancar untuk majlis yang cukup sederhana.

"Saya agak kelam kabut untuk menguruskan perisapan perkahwinan kerana saya baru sahaja habis penggambaran drama bersiri Metro Skuad dua hari lalu.

"Namun semuanya berjalan seperti yang telah dirancangkan. Kami akan bernikah pada 11 pagi dan sebelah malamnya majlis resepsi saya untuk keluarga dan rakan terdekat di Dewan Kamalbina Taman Tasik, Taiping," tambahnya lagi.

Ana yang akan memakai busana serba putih rekaan Fendi pada majlis nikahnya itu bakal menerima wang hantaran sebanyak RM20,000-Murai.com

No comments: