Monday, December 19, 2011

Asmidar, Mafa Ke Final 'Vokal Bukan Sekadar Rupa'

Asmidar & Mafa [Mstar]


SHAH ALAM: Dua peserta wanita iaitu Norhasmidar Ahmad (Asmidar) dan Mafarikha Md Akhir (Mafa) berjaya ke peringkat akhir program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama yang bakal berlangsung pada Ahad depan.
Asmidar, 25, peserta pertama pilihan juri telah mendapat markah purata sebanyak 58 peratus manakala Mafa, 19, dengan 48 peratus.
Peserta tunggal lelaki, Azmarul Azuan Harun (Azmarul), 27, bagaimanapun tersingkir pada konsert minggu kesembilan itu dengan purata markah sebanyak 43 peratus.
Sebelum diumumkan sebagai finalis akhir, Azmarul dan Mafa terpaksa mengharungi cabaran Battle Song bagi menentukan kedudukan mereka pada peringkat akhir.
Bagaimanapun, lagu nyanyian asal Hafiz, Awan Nano telah memberi tuah kepada Mafa.
"Sejujurnya saya terkejut dipilih ke peringkat akhir namun rezeki menyebelahi saya malam ini," ujar Mafa ketika ditemui selepas berlangsungnya konsert di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam Ahad.
Dua lagu lain yang dibawa oleh Mafa pada malam itu adalah Earth Song dendangan Michael Jackson dan Asmara duet bersama Atilia.
Keputusan diumumkan oleh juri tetap program tersebut, Erra Fazira dan Azmeer.
Dalam pada itu, Asmidar membawa lagu Can't Take My Eyes of You dan Bagaikan Saktiduet bersama Bob (AF2).
Asmidar pelajar Ijazah Sarjana Muda (Persembahan Muzik Vokal) di Akademi Seni Kebangsaan Malaysia (Aswara) berkata, dia pada awalnya tidak meletakkan harapan untuk masuk ke peringkat akhir.
"Tujuan asal saya menyertai pertandingan ini adalah untuk mendapatkan pendedahan mengenai teknik nyanyian dan berhadapan dengan penonton.
"Tetapi rezeki saya untuk mara ke peringkat akhir dan berjanji akan melakukan terbaik pada malam itu nanti," ujarnya.
Sementara itu, Azmeer berpuas hati dengan prestasi peserta pada malam itu yang menunjukkan peningkatan selepas memberikan persembahan hambar pada minggu lalu.
Ujarnya, pemilihan Asmidar dan Mafa adalah berdasrkan kelainan vokal dan kredibiliti mereka ketika berada di pentas.
"Bagaimanapun mereka tidak boleh cepat selesa dan perlu membuktikan kebolehan vokal mereka pada peringkat akhir nanti," ujarnya.
Sistem penjurian adalah berdasarkan undian penonton sebanyak 50 peratus dan selebihnya daripada pihak juri.
Peringkat akhir Vokal Sekadar Rupa bakal menyaksikan Asmidar dan Mafa perlu membuat tiga persembahan iaitu menerusi pilihan lagu sendiri, lagu baru dan Battle Song.
Menurut penerbit program tersebut, Suffian Che Isa, dua peserta peringkat akhir itu perlu memilih satu lagu untuk pesaing mereka di pusingan Battle Song sebagai cabaran buat pihak lawan.
"Itu adalah kelainan pada peringkat akhir nanti selain lagu baru untuk mereka akan dicipta oleh komposer terkenal, Ajai dan Audi Mok," katanya.
Suffian juga memberitahu juri jemputan akan mengadili peserta selain kehadiran penyanyi, Adibah Noor sebagai artis jemputan.
Peringkat akhir Vokal Bukan Sekadar Rupa akan berlangsung pada 25 Disember ini pukul 9 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

No comments: