Thursday, December 15, 2011

1001 Kenangan Resepsi Chef Riz dan Ana Dahlia



KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2011: Ahad ini merupakan resepsi kedua persandingan juri MasterChef Malaysia, Mohd Nadzri Redzuawan, 29 atau Chef Riz dengan pasangannya Diyana Mastura Jaafar atau Ana Dahlia, 28 yang akan diadakan di Felda Sungai Koyan, Pahang.

Namun persandingan yang diadakan di Dewan Kamal Bina di Taiping Perak malam Ahad lalu telah menyimpan 1001 kenangan terindah buat pasangan ini selepas beberapa bulan bermadu asmara sebagai pasangan berkasih.

Chef Riz yang telah membawa rombongan satu bas ke kampung halaman isterinya itu turut terharu apabila ayahnya Datuk Redzuawan Ismail atau Datuk Chef Wan telah menghadiahkan mereka berdua dengan percutian bulan madu ke Melbourne, Australia.

Malah selepas upacara pernikahan pada sebelah pagi, Ana Dahlia tidak henti menjuraikan air mata gembira menunjukan betapa bertuah dan bahagianya dia apabila disatukan bersama Chef Riz sebagai jejaka yang telah berjaya menambat hatinya.

Keluarga mempelai perempuan telah memilih hijau pucuk pisang sebagai persalinan di malam persandingan, manakala Datuk Chef Wan bersama rombongan mewakili pengantin lelaki telah memilih biru lembut sebagai menyerikan persandingan berkenaan.

Meskipun acara persandingan bermula agak lewat seperti yang dirancang, namun terbit wajah keriangan pada setiap tetamu apabila Chef Riz dan Ana Dahlia tampil dari pintu masuk Dewan Kamal Bina kearah pelamin dihiasi serba putih.

Bak raja sehari, kedua-dua mempelai diraikan di atas pelamin nan indah tajaan CheDat Butik Nasha manakala didandan rapi oleh Sazlee Bridal Gallery.

Jika Chef Riz mengenakan sut serba putih, pasangannya pula memilih gaun moden merah bandung untuk digayakan pada majlis bagi meraikan persandingan mereka berdua. Cukup ringkas tapi tetap mempersona.

Majlis turut diserikan dengan beberapa buah lagu romantik dendangan vokal merdu Farhan yang telah menyerikan acara malam sambil tetamu sedang asyik menjamu selera hidangan nasi minyak dan lauk pauk menyelerakan.

Bukan saja kedua-dua mempelai, malah kemunculan Datuk Chef wan bersama cucu kesayangannya Tristan Tareef turut mendapat perhatian para tetamu untuk merakamkan gambar bersama sebagai kenang-kenangan.

Adik kepada Chef Riz, Serina yang juga merupakan selebriti popular juga tidak ketinggalan hadir ke majlis berkenaan dengan persalinan ala Timur Tengah walaupun sedang sarat hamil lapan bulan. Kemunculannya turut menjadi perhatian ramai-Murai

2 comments:

Totie@Tomy said...

meriah tengok majlis kawin chef ritz moga perkahwinan ini bahagia hingga ke surga amin...

Jendela Hati said...

totie@tomy: mmg meriah kan