Wednesday, December 14, 2011

Muzium Negara ~ Kelainan aktiviti cuti sekolah



Setiap hari akan lalui jalan Muzium Negara. Petang tadi dalam jalan teramat-amat jem tu dengan kenderaan yang berhenti lama ternampak bunting yang di pasang di tepi pagar Muzium.


Belek-belek Mstar tadi terus dapat arkitel berkenaan Pameran Kapal Karam.


Jom kita intai-intai...



Antara khazanah kapal karam yang dipamerkan.




GEMBIRANYA kebanyakan murid di negara ini apabila sekolah-sekolah menamatkan sesi persekolahan dan mereka kini sedang bercuti akhir tahun.
Ada yang berasa teruja mengenai destinasi percutian manakala segelintir mereka pula terpaksa menghabiskan masa di rumah kerana kesibukan ibu bapa yang bekerja.
Bagaimanapun, bercuti tidak semestinya perlu melancong atau berada di luar Kuala Lumpur dan amat merugikan sekiranya masa cuti sekolah dibazirkan begitu sahaja.
Ibu negara juga menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran untuk seisi keluarga dan persepsi bahawa ia sekadar aktiviti rombongan sekolah seharusnya diubah.
SEBAGAI peneraju aktiviti permuziuman di Malaysia, Jabatan Muzium tidak pernah berhenti memulihara dan mengekalkan warisan koleksi khazanah negara.
Ini termasuk memikirkan pelbagai idea dalam mempersembahkan elemen sejarah dengan nafas baru agar pameran yang dianjurkan tidak membosankan.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, muzium hari ini terus mendapat perhatian masyarakat meskipun pada musim cuti sekolah.
“Sehubungan itu, kami mengambil peluang ini dengan mempelbagaikan program seperti menganjurkan pameran-pameran khas.
“Setiap pameran mempunyai kelainan dan menerapkan nilai keseronokan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Ibrahim berkata, pendekatan menerusi pameran-pameran khas berupaya untuk menarik lebih ramai pengunjung seisi keluarga untuk menghargai muzium.
Jelasnya, Jabatan Muzium melihat kehendak generasi muda yang mahukan pembaharuan dan kecenderungan mereka terhadap penyampaian kisah sejarah.
“Pameran-pameran khas yang dianjurkan pada musim cuti sekolah ini sebagai nilai tambah dalam memastikan sajian ilmu pengetahuan turut disajikan secara santai.
“Kebiasaannya, generasi muda terutama kanak-kanak yang mempengaruhi ibu bapa untuk datang ke muzium. Ini membantu seisi keluarga meluangkan masa bersama melakukan aktiviti berfaedah dan menyeronokkan sempena cuti sekolah.
“Kami bukan sahaja menarik minat warga Kuala Lumpur untuk mengunjungi Muzium Negara bahkan mereka yang berada di luar ibu negara ,” katanya.
Sempena musim cuti sekolah, Muzium Negara menganjurkan tiga pameran iaitu Busana Perkahwinan Mutiara, Jejak Upin dan Ipin serta Khazanah Kapal Karam.
Menerusi pengisian lebih kontemporari, Pameran Busana Perkahwinan Mutiara mengetengahkan rekaan pereka fesyen terkemuka tanah air menggunakan mutiara.
Terdapat kira-kira 40 himpunan yang dipamerkan seperti gaun perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza bernilai RM300,000 dan gaun perkahwinan pelakon Memey rekaan Vera Wang yang disertakan dengan veil mutiara Rafflesia bernilai RM500,000.
Pameran Busana Perkahwinan Mutiara bukan sekadar memperagakan koleksi perkahwinan tetapi turut mendidik masyarakat tentang kepelbagaian jenis mutiara.
Kunjungan ke pameran tersebut memerlukan tiket masuk bagi dewasa sebanyak RM2 manakala percuma untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Dalam pada itu, tidak ramai yang tahu bahawa perairan Malaysia merupakan salah satu laluan penting di dunia yang digunakan oleh pedagang-pedagang dari China, India, Siam, Parsi dan Tanah Arab sejak awal kurun masihi.
Menerusi Pameran Khazanah Kapal Karam, pengunjung berpeluang untuk melihat penemuan-penemuan terbaru koleksi kapal karam di beberapa lokasi di negara ini.
Pelbagai teknik dan kepentingan arkeologi maritim dipaparkan sepanjang pameran yang berlangsung sehingga 1 Januari 2012.
Ini memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa kapal karam merupakan kapsul masa yang mengandungi banyak misteri dan mungkin sangat berharga kepada negara. Tiket masuk ke Pameran Khazanah Kapal Karam berharga RM3 untuk dewasa, kanak-kanak antara 6 sehingga 12 tahun (RM1) manakala percuma untuk kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah.
Selain itu, Jabatan Muzium juga mengadakan pameran khas sempena cuti sekolah secara berasingan di Muzium Alam Semula Jadi di Putrajaya.
Pameran yang bertemakan ‘Misteri Sang Buaya’ merangkumi sejarah awal kewujudan buaya, penemuan fosil yang membuktikan kewujudannya pada zaman pra-sejarah dan spesis buaya di Malaysia.
Selain itu, ia turut mempamerkan maklumat mengenai kitaran hidup buaya, sifat semula jadinya, aspek perlindungan dan pemuliharaan, konflik antara budaya dan manusia serta keunikannya mempengaruhi kehidupan manusia.
Tarikan utama pameran adalah replika buaya besar yang dikenali sebagai ‘Buaya Puchong’ dan kisah legenda buaya ‘Bujang Senang’.
Pameran Misteri Sang Buaya kini berlangsung sehingga 31 Januari 2012 dan pengunjung hanya perlu mendapatkan tiket masuk ke Muzium Alam Semula Jadi sebanyak RM2.Kemasukan adalah percuma bagi kanak-kanak di bawah 6 tahun dan pelajar sekolah yang beruniform.
Sama ada golongan dewasa atau kanak-kanak, pengisian yang disampaikan secara interaktif dan kreatif oleh Jabatan Muzium sedikit-sebanyak dapat membantu memberi idea kepada seisi keluarga bagi merencana aktiviti cuti sekolah.
Selain menjimatkan kos dan tidak menumpukan pada pusat beli-belah semata-mata, aktiviti ini memberi pengalaman berfaedah untuk segenap lapisan masyarakat.




No comments: