Tuesday, November 8, 2011

Edry Hormati Keputusan Anuar Zain



PUTRAJAYA: Komposer lagu Sedetik Lebih, Edry Abdul Halim menghormati keputusan penyanyi lagu tersebut, Anuar Zain untuk tidak menyertai mana-mana pertandingan nyanyian biarpun lagu itu berjaya ke separuh akhir Anugerah Juara Lagu 26.
Kata Edry, dia faham situasi Anuar Zain dan akan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada artis lain untuk membawakan lagu tersebut.
“KRU pernah melalui saat-saat seperti itu bila kami tidak mahu menyertai lagi mana-mana pertandingan nyanyian dan saya sangat faham situasi Anuar Zain dan menghormati keputusannya.
“Saya faham bukan kerana dia takut kalah tetapi itu adalah prinsipnya, lagi pula pertandingan itu adalah untuk lagu bukan penyanyinya,” ujarnya yang ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata Edry, Anuar telah meletakan lagu Sedetik Lebih itu ke satu tahap yang tinggi sehingga menyukarnya untuk mencari pengganti yang dapat menyanyikan lagu tersebut dengan baik.
“Oleh itu saya sedang mencari pengganti yang boleh menyanyikan lagu tersebut setanding atau lebih baik dari Anuar Zain.
“Buat masa ada beberapa nama penyanyi lelaki dan perempuan masih dalam pemerhatian saya,” katanya yang tidak menolak nama penyanyi wanita popular Jaclyn Victor sebagai salah seorang yang bakal membawa lagu tersebut.
Ketika ditanya tentang harapnya terhadap beberapa lagu yang layak ke pertandingan separuh akhir Anugerah Juara Lagu 26, Edry berkata, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.
“Tahun lepas memang saya aktif membuat lagu untuk artis disebabkan itu juga ada beberapa lagu yang tercalon.
“Namun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, jika menang ia adalah satu bonus,” katanya.
Oleh KEMALIA OTHMAN-Mstar


No comments: