31/10/2011 8:04pm
RANTAU PANJANG 31 Okt. – Seorang remaja yang disyaki penyeludup diesel nyaris rentung apabila kenderaan pikap dipandunya hilang kawalan dan merempuh pokok kelapa sebelum terbakar di Kampung Kubang Sepat, dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 5.55 pagi itu, kenderaan yang telah diubah suai untuk mengisi 200 liter bahan api tersebut turut merempuh tiang elektrik dan telefon awam menyebabkannya terbakar.
Remaja berusia 19 tahun itu bagaimanapun sempat keluar daripada kenderaan yang terbakar tersebut lalu melarikan diri sejauh tiga kilometer tetapi berjaya ditahan penduduk kampung.
Menurut saksi, Musa Daud, 54, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari luar rumahnya.
“Saya bergegas keluar untuk melihat dan sejurus membuka pintu rumah, saya dapati sebuah pikap bernombor plat pendaftaran negara jiran terbakar.
“Saya melihat kelibat seorang lelaki dipercayai pemandu kereta berkenaan keluar dan melarikan diri,” katanya ketika di temui pemberita di tempat kejadian dekat sini hari ini.
Tambahnya, dia yang juga ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Telaga Emas menghubungi rakan-rakannya melalui walkie-talkie untuk bantuan seterusnya memaklumkan kepada bomba.
Musa memberitahu, pemandu kereta berkenaan yang melarikan diri ditahan oleh ahli KRT dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pikap itu difahamkan sering dilihat mengisi minyak di stesen berhampiran untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram berdekatan,” dakwanya.
Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang yang juga ketua operasi, Ghani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.59 pagi dan seramai enam anggota dan sebuah jentera dihantar ke lokasi.
“Sejurus tiba, kereta itu sudah terbakar hampir 90 peratus. Pihak kami mengambil masa lima minit untuk memadamkan api.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan tersebut mempunyai tangki yang telah diubah suai dan mampu mengisi hampir 200 liter bahan api,” katanya. – Utusan
No comments:
Post a Comment