Sunday, October 23, 2011

Ketabahan seorang primadona


KANSER payudara yang melingkari kehidupannya kembali bersarang ekoran tekanan demi tekanan yang tidak berkesudahan. 

Walaupun sebelum ini ada khabar dia sudah semakin sembuh, pelakon Azean Irdawaty perlu meneruskan lagi sesi rawatan setiap enam bulan sekali di Hospital Pakar Beacon, Petaling Jaya. 

“Sebelum ini masalah penyakit Kak Yan sudah semakin sembuh, namun sekarang kembali lagi.

“Sesiapa yang menghidap barah memang tidak boleh berada dalam tekanan. Sekarang Kak Yan kembali berasa tertekan, sebab itu kanser itu menyerang semula,” katanya kepada Pancaindera.

Selain bertarung dengan penyakit yang dihidapi, seluruh peminat juga turut mengetahui anak lelakinya, Benjy telah dihukum menjalani perintah sekatan dan perlu berada di Kuantan, Pahang sejak 17 Mac tahun lalu dan itu semestinya menambahkan lagi tekanan seorang ibu. 

“Walaupun tertekan namun Kak Yan syukur dengan apa yang telah ditetapkan ini. Setiap-tiap malam Kak Yan akan berdoa kepada Tuhan supaya permudahkan segala urusan, tabahkan hati Kak Yan sendiri. Sepanjang berada di sini Kak Yan memang tidak bertemu dengan anak Kak Yan,” katanya sekaligus merakamkan terima kasih kepada orang ramai yang banyak memberi sumbangan kepada dirinya selama ini.
Isnin lalu, persatuan Seniman dengan kerjasama dengan Pemuda UMNO, bersama beberapa artis terkenal telah melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Azean.
Pemuda UMNO dan Seniman turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Azean. Antara artis yang turut serta adalah, Fizz Fairuz, Yatt, Zamrul Hisham, Maria Farida dan Fiza.

Fizz Fairuz menganggap Kak Yan adalah seorang pelakon yang ternyata mempunyai cukup kreateria sebagai seorang lagenda negara.

“Sebelum ini, kakak ipar saya turut mengalami penyakit kanser, Kak Yan banyak memberikan semangat kepada kakak ipar saya. Dia menyuruh kakak saya supaya selalu happy dan jangan fikir tentang penyakit yang sedang dihidapi. Syukur kepada Allah, kakak ipar saya ketika ini sudah kembali pulih.

“Kak Yan mempunyai banyak pengalaman, dia juga tidak kedekut ilmu, dia memang seorang artis yang tidak pernah lokek ilmu, dia banyak bagi tunjuk ajar kepada artis baru seperti saya,” jelas Fizz.

Semoga primadona air mata ini segera sembuh untuk terus memberi sumbangan kepada industri filem dan drama tempatan. 

Persatuan Seniman dan Biro Kesenian dan Kebudayaan Pemuda UMNO memberi sumbangan dan lawatan kepada Seniwati Azean Irdawaty di Hospital Beacon, Petaling Jaya. 
 
Sumber: Utusan Online

No comments: