Tuesday, January 10, 2012

Kualiti, standard tinggi Rajalawak Astro 6

As-salam... berita nie puan zai baca dalam Utusan-online petang tadi...

Dah nak start dah minggu pertama pada Jumaat di Astro Warna channel 132...

Habis aje Maharaja Lawak Mega minggu lalu yang telah di menangi oleh kumpulan Osbon, kini RLA6 pula menyusul di kaca TV untuk mengeletek hati penonton.

Harap-harap peserta kali ini betul-betul buat puan zai terhibur dan tergeletek dengan lawakz mereka.

Yang pasti dah lama tak tengok kemunculan pengacara gandingan bersama JOZAN iaitu Johan dan Zizan...


MANTAP... (Dari kiri) Angah, Ahmad Idham, Tauke dan Yus yang dipilih sebagai Cif Kecik dan Cif Besar dalam Raja Lawak musim keenam ini.


TIADA siapa pernah menyangka program realiti pencarian pelawak popular, Raja Lawak Astro (RLA) mampu bertahan sehingga kini.

Malah kehadiran musim ke-enam yang akan mula bersiaran 13 Januari ini (Jumaat) berjaya meningkah dakwaan yang mengatakan program itu sudah semakin hilang bisanya.

Justeru untuk memantapkan kandungan serta memastikan kedudukan RLA berada di dalam liga tersendiri, program yang mula diperkenalkan sejak 2006 itu kini sudah pun berpindah 'rumah' dari Astro Prima (saluran 105) ke Astro Warna (saluran 132).

Ini bermakna, penonton setia RLA yang dahulunya dapat menonton secara percuma kini harus membayar untuk menonton musim terbaru di saluran yang berada dalam pakej Mustika.

Bagaimanapun tindakan berani Astro itu telah menimbulkan tanda tanya dan persoalan di kalangan segelintir penggemar setia RLA.

Soal mereka, apakah rasional perubahan itu sedangkan kedudukan RLA di Astro Prima dilihat cukup baik apabila ia mendapat sambutan hangat setiap minggu.

Mereka juga mendakwa dengan perpindahan itu, ia secara tidak langsung memerlukan mereka mengeluarkan wang tambahan setiap bulan untuk melanggan pakej Mustika.

Namun pihak Astro melihat senario itu dari sudut positif dan menyifatkan RLA 6 mampu memberikan kepuasan dengan kandungan yang lebih segar.

Ini diakui sendiri oleh Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani yang memberi jaminan bahawa RLA 6 akan membawa satu standard baru dalam penerbitan program realiti itu.

Bukan itu sahaja, perubahan itu juga dilakukan bagi memastikan kandungan program bertepatan dengan format dan pengisian untuk setiap saluran Astro.

"Sebagai contoh, Astro Ria cukup sinonim dengan hiburan manakala Astro Prima pula lebih kepada program bercorak kekeluargaan.

"Begitu juga dengan Astro Warna di mana kami mahu memantapkan kandungannya seiring dengan saluran komedi pertama di negara ini. Atas alasan itu, RLA dibawa masuk ke saluran ini bermula musim ini.

"Saya boleh katakan perkembangan dan perjalanan RLA diibaratkan seperti sebuah warung tepi jalan yang perlahan-lahan melalui transformasi sehingga mampu menjadi sebuah kafe yang penuh gaya.

"Kami melakukan ini juga adalah kerana memikirkan permintaan pelanggan setia Astro yang sering mendambakan kandungan yang berkualiti menerusi program-program yang ditampilkan," jelas Nizam pada sidang akhbar RLA 6 di Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Sehubungan itu, bagi memastikan RLA 6 mampu meninggalkan impak luar biasa, Nizam menjelaskan proses pemilihan peserta kali ini juga lebih ketat bagi memastikan kualiti dijaga setanding dengan perpindahan program itu ke Astro Warna.

"Kami mengambil kira setiap maklum balas dan kritikan yang diterima sebelum ini terhadapRLA terutama melibatkan para pesertanya.

"Apabila memperkatakan tentang lawak jenaka, penonton dan masyarakat hari ini sudah bijak untuk menilai tahap kebijaksanaan seorang pelawak itu dalam persembahan mereka.

"Sepanjang uji bakat, kami melakukan saringan yang cukup ketat dan hanya memilih mereka yang kami rasakan dapat memberikan persembahan terbaik sepanjang RLA 6 bersiaran nanti," ujar Nizam optimis.

Demi menjaga kualiti RLA 6, daripada 12 peserta yang dipilih kali ini, hanya seorang sahaja peserta solo yang terpilih iaitu Mohd. Shahdan Salleh atau Kodan. Begitu juga dengan peserta wanita yang kali ini nampaknya gagal untuk menjadi peserta RLA 6.

Selebihnya adalah peserta berkumpulan iaitu Zero, Skema, Cuit, 2Yol, GMan, Albob, Shiro, Riki, Selak, Ketupat dan King.

Perubahan baru
Selain itu, perubahan besar yang dilakukan oleh pihak Astro untuk RLA apabila untuk pertama kalinya dalam musim keenam ini mengenengahkan konsep pengetua dan penasihat.

Menggunakan gelaran Cif Kecik, tiga nama yang dipilih kali ini merupakan bekas peserta RLAmusim pertama iaitu Angah, Yus dan Tauke.

Sementara tanggungjawab pengetua atau lebih dikenali dengan panggilan Cif Besar pula digalas oleh pengarah terkenal, Ahmad Idham.

Mengulas tentang tanggungjawab Cif Besar dan Cif Kecik dalam musim keenam ini, Nizam memberitahu ia bagi memastikan setiap persembahan peserta di bawah jagaan Cif Kecik dipantau dan diperhatikan sebelum mereka membuat persembahan.

"Dengan adanya Cif Kecik ini, mereka dapat membantu setiap peserta dalam persembahan mereka agar pada persembahan mingguan kelak, hala tuju mereka tidak tersasar.

"Namun, dari segi kreativiti, semuanya terletak kepada peserta.

"Kehadiran Cif Kecik hanyalah untuk memberi motivasi, semangat dan membantu apa yang dirasakan perlu sebelum persembahan mingguan nanti.

"Tugas Ahmad Idham pula adalah untuk memantau kesemua tugas Cif Kecik dan barisan peserta yang terlibat di bawah pengawasan mereka," kata Nizam yang yakin dengan pengalaman Ahmad Idham, Angah, Tauke dan Yus dapat membantu prestasi setiap peserta kelak.

Jika diperhatikan, pemilihan Angah, Tauke dan Yus boleh dipertikaikan lantaran pengalaman mereka di dalam bidang seni yang masih lagi hijau.

Bukankah lebih afdal untuk memilih pelawak senior yang jauh lebih berpengalaman untuk dijadikan mentor atau penasihat kepada barisan pelawak baru tersebut?

Garis panduan
Jelas Nizam, mereka memutuskan untuk memilih Angah, Tauke dan Yus memandangkan mereka antara peserta awal RLA dan faham bagaimana tekanan serta pengalaman bertanding di RLA.

"Jadi, secara tidak langsung, ia ibarat sirih pulang ke gagang untuk ketiga-tiga mereka ini mencurahkan ilmu dan nasihat kepada peserta RLA 6.

"Lagipun, pengalaman mereka juga sudah banyak dalam bidang seni dan mereka memang sesuai untuk menjadi penasihat," kata Nizam lagi yang memberitahu tiga pengkritik tetap RLA 6 akan diumumkan pada persembahan mingguan pertama pada Jumaat ini.

Bagi Ahmad Idham pula, misi sebagai Cif Besar dalam RLA 6 adalah untuk memastikan semua peserta memberikan persembahan yang berkualiti dan luar daripada kotak kebiasaan.

Sesuai dengan kedudukan RLA yang semakin matang, sememangnya setiap peserta harus memberikan persembahan yang bukan lagi ditakuk lama.

"Atas alasan itu jugalah, RLA memperkenalkan Cif Besar dan Cif Kecik kerana ia untuk memberi tunjuk ajar apa yang boleh dan tidak dilakukan dalam persembahan mereka.

"Peserta boleh menjadi kreatif tetapi mereka perlu tahu garis panduan agar persembahan mereka tidak mencuit sensitiviti masyarakat di negara ini.

"Persembahan dan lawak jenaka mereka perlu bijak agar masyarakat dan peminat akan menghormati mereka sebagai seorang pelawak," jelas Ahmad Idham yang sebelum ini pernah menjadi salah seorang pengkritik tetap Maharaja Lawak, tahun lalu.

RLA 6 mengekalkan gandingan mantap Johan dan Zizan selaku hos selain stesen radio nombor satu negara, Sinar FM sebagai stesen radio rasmi.

2 comments:

Hanis Azla said...

akak mmg tak melanggan astro warna.. mmg tak dapatlah nak tgk RLA nnt..

Jendela Hati said...

hanis azla: permintaan tinggi nak tgk warna, sbb tu tak cancel pakej lepas MLM tamat..