Thursday, December 23, 2010

Cerpen : Helaian Putih

HELAIAN PUTIH

            “Penat?”
            “Tidak!”
            “Marah?”
            “Ya…”
            “Masih siang lagi…!”
            “Aku tahu.”
            “Haus?”
            “Tak.”
           
            Hari masih terik. Tetapi Azrul belum muncul lagi. Sudah dekat dua jam Iwan dan Yusof melepak di warong Pak Karim, tetapi bayanyannya belum terpacul di hadapan mereka. Mereka agak gelisah.
            Azrul adalah rakan karib mereka sejak dari kecil lagi. Azrul yang selama ini tidak pernah mungkir janji tiba-tiba berkelakuan begini. Aneh.
            Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh pagi. Muka Iwan merah padam, dadanya bergoncang seperti ombak memukul batu. Sikap yang ditunjukkan oleh Iwan tidak berubah sejak dahulu lagi. Sesiapa saja yang mungkir janji padanya, pasti dia hilang kesabaran. Yusof memerhati gelagat Iwan yang mundar-mandir sejak dari tadi, gelihati juga dia.
            “Sudahlah, pasti dia akan datang, kalau tak pun dia mesti…” Tidak sempat Yusof menghabiskan ayatnya di sampuk pula oleh Azrul dari belakang.
            “Maafkan aku…aku…”
            “Apa! Kalau kau sengaja nak buang masa, lain kali jangan buat janji.” Bentak Iwan kuat. Matanya bulat merah.
            Sebenarnya mereka telah berjanji untuk pergi bersama ke Tasik Ulu di hujung kampung mereka, tetapi di sebabkan Azrul terlewat, perkhemahan mereka pada awalnya di batalkan kerana matahari telah naik tinggi. Dikhuatiri, mereka akan lewat sampai ke tasik itu dan juga pulang lewat malam.
            Dilihatnya muka Azrul bulat-bulat. Aneh, wajah Azrul aneh sekali. Pucat, lesu, muram dan tidak bermaya.
            “Apa yang telah terjadi pada kau?” Soal Yusof ingin tahu.
            “Kau sakit?” Tangan Yusof menggosok-gosok bahu Azrul lembut. Azrul tetap membisu dan terus membisu.
            Mereka mula beredar ke rumah Yusof yang terletak tidak jauh dari situ. Mereka sudah biasa menghabiskan masa di rumah rakan mereka yang seorang ini kerana di rumahnya terdapat satu bilik yang telah di jadikan mini studio. Di sana pun, Azrul tetap membisu. Iwan dan Yusof hilang kata-kata.
            “Cuba kau terangkan pada kami, Zul?” Yusof memulakan langkah pertama untuk mengorek rahsia teman baiknya itu.
            “Mungkin kami boleh menolong, kau jangan ambil hati dengan aku tadi…aku bukan nak sakiti hati kau…” Iwan memujuk. Kesal.
            “…tetapi takkanlah kau nak macam ni, selama ini kau tak pernah berkelakuan begini, kalau kau marahkan aku, aku minta maaf… okey?” Sambung Iwan lembut.
            “Aku tidak merahsiakan apa-apa daripada kamu berdua dan aku tidak salahkan kamu atas kelewatan aku tadi…sepatutnya aku yang patut minta maaf sebab terlewat. Cuma sekarang ni aku masalah peribadi sikit.” Ucap Azrul setelah lama mendiamkan diri.
            Iwan dan Yusof tahu sedikit sebanyak masalah yang di hadapi oleh rakannya itu. Masalah itu adalah disebabkan ayahnya yang keras kepala, degil dan tidak mempedulikan perihal anak tunggalnya Azrul dan juga hal rumahtangga.
            Ayah Azrul seorang ahli perniagaan yang berjaya bernama Dato’ Malik. Ibunya, Datin Zarina pula sibuk bergiat dalam persatuan-persatuan yang berkaitan dengan wanita di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Mereka sering sahaja pulang lewat malam. Jam lapan adalah waktu paling awal mereka sampai di rumah.
            Azrul adalah anak tunggal berumur sembilan belas tahun. Berkulit kuning langsat lesung pipit di kiri pipinya. Rambutnya di paras bahu agak selekeh dengan imej rock muda-mudi sekarang. Konon brutallah tu. Tiap-tiap hari asyik berkepit dengan gitar solonya. Disebabkan mahu menjadi pemuzik, kadang-kala dia dan ayahnya sering bertengkar sehingga suatu hari Azrul jatuh pengsan. Seluruh kawasan kediaman mereka menjadi gempar dengan cerita-cerita tentang keluarga Dato’ Malik.
            Dari cerita yang agak benar, Azrul telah di tampar dan kepalanya terhantuk ke dinding. Hampir dua minggu Azrul tidak sedarkan diri. Tetapi kejadian itu telah berlalu hampir setahun. Kadang-kala kesan dari kejadian itu, Azrul seperti orang yang sudah hilang ingatan, menjadi pelupa dan suka mendiamkan diri.
            Jam sudah menunjukkan pukul dua belas tengahari. Azrul sedang membelek-belek gitar yang baharu berumur setahun itu. Gitar nombor dua selepas gitar solonya dahulu berkecai di campak ke dinding oleh ayahnya. Iwan mula hilang kesabaran, dia sudah tidak tahan lagi dengan ‘mood’ Azrul hari ini.
            “Aku tahu tentang masalah kau tu, tapi aku rasa mesti kau ada masalah yang serius, cuba yang cakap mungkin kami boleh kongsi bersama” Yusof memujuk. Anak mata Yusof mengekori tangan Azrul yang sedang meraba di kocek sebelah kiri seperti hendak mengambil sesuatu. Dikeluarkan sehelai kertas putih yang berlipat kemas. Diberikannya kepada rakannya disebelah. Dengan penuh minat Iwan dan Yusof membaca barisan ayat-ayat yang tersusun di situ.
            “Ya-Allah, benarkah apa yang aku baca ini?” Sentak Yusof. Azrul yang dilihat hanya tertunduk memandang lantai.
            “Ayah kau tahu tentang perkara ini?” Tanya Iwan pula. Azrul hanya menggeleng.
            “Dalam masa setahun ini, ingin menghabiskan masa aku dengan perkara yang berfaedah, tapi kadang-kala aku merasa takut bila mengingatkan perkara ini, aku…aku…” Cerita Azrul panjang lebar apabila dia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Air jernih bertakung dengan dan sedang tunggu masa untuk jatuh. Keadaan senyap sebentar. Sungguh mengharukan.
Mereka tidak menyangka akan perkara ini akan berlaku pada rakan mereka, Azrul. Kasihan sungguh. Itulah dugaan yang harus ditempuhi oleh pemuda itu nanti. Tetapi segala-galanya terserah pada tuhan. Dia yang akan menentukan. Hidup, mati dan rezeki, semuanya di tanganNya.
Kedengaran azan Zohor sedang berkumandang di corong surau Kampung Sri Murni itu. Azrul meminta diri untuk pulang, di khuatiri makcik Jah, pembantu rumahnya akan risau. Semasa keluar tadi pun, tiada siapa yang tahu.
Iwan dan Yusof amat bersimpati melihat keadaan rakannya mereka itu. Hidupnya sentiasa kesunyian. Hanya makcik Jah sahajalah yang menjadi tempat bermanja semenjak berumur tujuh tahun lagi.
Azrul pulang dengan langkah longlai. Iwan dan Yusof hanya dapat memerhati dengan bola mata masing-masing. Tiada apa yang ingin diucapkan.
“Hai…pulang awal hari ini Zul?” Makcik Jah menyapa dari belakang, agak terkejut sedikit Azrul sesudah sampai di pintu rumahnya.
“Ya…mak, Zul pergi bersiar-siar dengan kawan…” Helah Azrul supaya makcik Jah yang sudah biasa di panggil ‘emak’ sejak Azrul masih kecil lagi. Makcik Jah tidak tahu ke mana dia pergi sebelum ini cuma yang dia tahu Azrul ada berjanji dengan kawan-kawan untuk berkhemah. Kertas putih tadi di simpan di dalam kotak kecil agar sesiapa sahaja tidak tahu apa yang tersirat dan tersurat di dalamnya.
Azrul menuju ke bilik air mengangkat wuduk dan terus menunaikan solat. Walaupun minatnya pada bidang muzik, tetapi amal ibadat tidak pernah dilupakan. Itu kewajipannya sebagai seorang muslim. Baginya, walaupun pengetahuannya yang cetek dalam bab agama, tidak memberikan alasan untuknya mendirikan solat.
Jam menunjukkan pukul lapan malam. Sebentar lagi Dato’ Malik dan Datin Zarina akan pulang dari tempat kerja masing-masing.
Azrul memang sudah biasa dengan keadaan begini. Dilihat sekeliling bilik tidurnya yang muram. Di capai gitar yang tergantung di dinding. Kedengaran geseran demi geseran, sungguh mengasikkan. Irama yang syahdu dan mendayu, seakan membelai dirinya yang sepi. Ingatannya tiba-tiba teringatkan kata-kata orang yang telah ditemuinya pagi tadi.
“Ini laporannya…” Mata orang tadi memandang tepat ke wajah Azrul.
“Tidak ada cara lain lagi untuk mengubatinya?” Azrul menadah harapan.
“Maafkan saya…”
“Tapi…”
“Saya telah cuba sedaya-upaya, terserahlah pada Allah s.w.t, hanya kepadaNya awak akan menyerah. Di sini ada sehelai laporan bagi mengesahkan panyakit awak ini. Ayah awak tahu?”
Geleng.
“Mengapa?”
“Saya tidak mahu mereka tahu…”
“Tapi…”
“Tolonglah…saya tidak mahu keluarga saya susah hati…”
“Tapi kalau keluarga awak tidak tahu tentang perkara ini, awak lagi susah…”
Tolonglah saya, hanya doktor sahaja yang saya harapkan, saya… saya… tidak tahu apa yang buat lagi…Biarlah saya sendiri yang menanggung. Saya tidak mahu mennyusahkan mereka”.
“Kalau begitu, baiklah. Apa yang penting awak jaga kesihatan…jangan terlalu berfikir banyak…”
“Terima kasih. Doktor mesti berjanji dengan saya”
“Ya…saya janji…” Janji Doktor Hisyam, doktor peribadi keluarga Dato’ Malik. Serba salah untuk merahsiakan perkara itu dari pengetahuan Dato’ Malik, pelanggan tetap sejak zaman datuk Azrul lagi.

‘Tokk…tokkkk….tokk…..!!!!!! Pintu diketuk orang.
“Zul ooo zul, eh kemana budak ni tidur ke? Zul….Zul…”
“Ah…ye…ye mak…” Jawab Azrul bila dia tersedar dari lamunan.
“Buka pintu ini, nak…” Pinta makcik Jah lembut.
Dengan langkah tidak bermaya, Azrul menuju ke pintu. Pintu di buka perlahan. Kelihatan makcik Jah tersenyum.
“Apa Zul buat ni? Ishh…gelapnya bukalah lampu…” Kata makcik Jah bila dia lihat Azrul bergelap di dalam biliknya itu. Azrul yang masih tercegat di situ, segera memetik sius lampu. Kemudian dia duduk kembali di atas katil.
“Hah…barulah terang sikit. Sudah mandi ke belum?” Makcik Jah bertanya seperti ibu dengan anak.
“Sudahhhhhh…”
“Amboiiii… panjangnya, ayah kau dah balik, cepatlah turun, makan, nanti membebel pula dia”
“Baiklah cikgu, nanti saya turun ye…” Azrul berjenaka cuba bergurau.
“Nakal…” Ucap makcik Jah sambil menarik hidung mancung Azrul.
“Cepat tau…” Sambung makcik Jah sambil menutup pintu semula.


Di ruang makan kelihatan ibubapa Azrul sedang tunggu ‘lampu hijau’ untuk makan malam. Makcik Jah pula sibuk dengan hidangan yang disediakan.
“Banyak lauk malam ini, Jah?” Sapa Puan Zarina. Dato’ Malik duduk berhadapan isterinya yang masih berseri dan cantik. Rambut Datin Zarina yang perang sedikit diikat rapi. Dia masih muda dan tampak bergaya.
“Ya…puan…” Jawab makcik Jah.
“Azrul yang minta saya masak, katanya dah lama tak makan gulai ikan sembilang ini” Sambung makcik Jah lalu ke dapur semula.
“Hah…mana Zul tu?” Dato’ Malik mencelah.
“Sebentar lagi turunlah tu…” Jelas Datin Zarina sambil menghulurkan air basuhan tangan ke arah suaminya.
Tidak lama kemudian, Azrul pun turun dari tingkat atas rumahnya. Dia mengenakan sehelai t-shirt putih dan seluar jean koyak di lutut. Dia lebih selesa berpakaian begitu, lebih senang bergerak dan bebas ke mana-mana, bisik hatinya. Jiwanya pun sudah biasa bersikap selamba. Dia duduk di sebelah ibunya. Kemudian mereka tiga-beranak segera menjamah lauk-pauk yang di hidangkan makcik Jah.
  “Mak tak makan bersama?” Pelawa Azrul kepada makcik Jah yang sedang mengatur langkah ke dapur semula.
“Tak apalah… mak makan kat meja dapur. Zul makanlah puas-puas ye…”
“Emm…Ok…” Kata Azrul sambil tersenyum. Nasi disuap ke mulut pantas. Lapar setelah satu hari suntuk tidak menjamah nasi. Nasi panas disertai dengan gulai ikan sembilang ini dan sambal tempoyak memang sedap dimakan. Terbuka selera pada sesiapa sahaja yang menghidunya. Ini adalah kesukaan Azrul sejak kecil.
Mereka tiga beranak asyik dengan hidangan itu sehingga anak mata Dato’ Malik liar melihat pakaian anaknya yang pudar. Dia mula perasan dengan penampilan Azrul malam itu.
“Sudah tidak ada baju lagi dekat Malaysia ni hah, baju dah nak luput, seluar pula koyak-rabak. Macam ni ke anak orang berkedudukan?” Nada suara Dato’ Malik di rasa menyindir. Azrul hanya menunduk. Menelan sisa makanan yang terasa tersekat, payah untuk menelan bila ayahnya tegur begitu. Seleranya mati begitu sahaja.
“Apa nak jadi dengan kau ni? Nak jadi hantu? Rambut tu macam dah tidak ada tukang gunting…” Sambung Dato’ Malik lagi. Tenungan matanya menajam, nasi dikunyah laju, terkumat-kamit. Misainya yang panjang bergerak ke kiri dan kanan. Dato’ Malik mengeluh panjang.
“Sudahlah tu, time makan pun awak nak membebel. Macammanalah budak tu tak…” Tidak sempat Datin Zarina menghabiskan ayatnya, Azrul menyampuk.
“Tak apalah bu, Zul dah kenyang ni, Zul naik atas dulu.” Azrul mengatur langkah tanpa menoleh ke belakang.
“Tengok tu, budak biadap, langsung tidak mahu mendengar nasihat ibubapa.”
“Awak juga yang suka meleteri budak tu, ngalahkan orang perempuan, perangai tak ubah-ubah sampai ke tua, depan rezeki tak baik macam tu…” Datin Zarina mula membuka suara setelah sekian lama dia melihat suaminya asyik bising dari tadi.
“…awak tahu tak umur Azrul? Sembilan belas tahun bang, sembilan belas tahun. Emm… sudahlah tu bang, tak lalu lagi nak makan, lebih baik tengok televisyen. Jah ooo Jah tolong kemas ni”. Puan Zarina habis bersyarah. Makcik Jah tergopoh-gapah keluar dari dapur. Tanpa melihat majikannya dia segera membersihkan meja makan itu setelah Dato’ Malik membersihkan tangannya.
“Anak dengan ibunya sama saja, bak kata pepatah bebudak sekarang, dua kali lima” Bisik hati Dato’ Malik mengekori isterinya ke ruang tamu.


‘Tokk…tokkkk….tokk…..!!!!!!
“Zul ooo Zul, buka pintu ni…” Pinta Puan Zarina. Pintu diketuk berkali-kali. Dato’ Malik sudah masuk ke bilik mereka, bersiap-siap untuk tidur.
“Siapa?” Azrul sengaja bertanya. Dia tahu suara ibunya memanggil.
“Ibu…”
“Nanti sekejap…”
Prakkk…!!!!
“Masuklah bu…” Pelawa ibu memandang ke wajah ibunya yang putih bersih. Semasa Datin Zarina melangkah masuk, kedengaran lagu ‘Sembilu’ nyanyian penyanyi rock, Ella kegemaran Azrul sejak dia meminati bidang muzik.
“Sudah hendak tidur ke?” Tanya Datin Zarina.
“Belum lagi”
“Cuba tutup sekejap lagu tu, ibu nak cakap sikit…”
Tapp!!! Azrul segera mematikan kaset itu.
“Apa dia bu?”
“Ibu ada terima jemputan ke majlis keramaian, ramai anak Tan Sri dan Dato’s hadir, bolehlah Zul berkenalan dengan mereka” Jelas Datin Zarina sambil duduk di atas katil bersama Azrul.
“Bila?” Soal Azrul meminta kepastian.
“Esok” Jawab Datin Zarina.
“Esok?” Azrul mengulangi kata-kata ibunya. Ingin kepastian.
“Emm…” Kata ibunya sambil membelai rambut panjang Azrul.
“Tapi bu…”
“Zul mesti pergi nanti ayah marahkan ibu lagi. Sudah acapkali Zul beri alasan, inilah peluang untuk Azrul memulakan perniagaan nanti….tidaklah jadi katak bawah tempurung atau terlalu kekok untuk berhadapan dengan orang ramai, lebi-lebih lagi orang kenamaan… lagipun lusa ibu dan ayah hendak berangkat ke London  ada mesyuarat niaga… banyak urusan lain sebelum kesana. Zul jadi penganti kami, boleh?”
“Apa Zul nak pakai? Malaslah…”
“Alah…pakailah coat atau baju apa-apa yang nampak gaya”
“Zul tak biasalah…”
“Zul mesti pakai dan pergi” Azrul terdiam.
“Okey?” Tanya Datin Zarina ingin kepastian.
“Okeylah Zul pergi nanti…” Azrul mengalah. Terpaksa akur dengan ibunya.
“Ha’ah… macam itulah anak ibu, ibu keluar dulu ye.. hah bukalah lagu artis kesayangan Zul tu balik…”
“Ye… yelah… Zul nak tidur ni, ibu keluar dahululah”
“Okeylah, good night, baby
Good night, bu…” Balas Azrul sambil tersenyum.


“Macammana ni, mak?” Tanya Azrul pada makcik Jah pada keesokkan malamnya.
“Macammana apa?”
“Rasa lain macamlah, tak selesa…” Rungut Azrul apabila mencuba pakaian yang diberikan oleh ibunya pagi tadi untuk menghadiri majlis keramaian itu nanti. Dia mengenakan reben dan bercoat hitam.
“Alah sekejap sahaja…nanti bukalah tapi jangan lupa ikat rambut itu…biar kemas, barulah ada gaya”
“Baiklah mak” Patuh Azrul sambil menyisir rambutnya rapi. Setelah bersiap sedia, Azrul pun memulakan perjalanan ke Regent Hotel. Makcik Jah hanya memerhati dari dalam rumah sehingga kereta Azrul hilang dari kegelapan malam.
Makcik Jah gembira kerana Azrul bersetuju dan turut kehendak ibubapanya untuk ke majlis tersebut. Memang selama ini Azrul agak berdegil untuk menghadiri majlis-majlis keramaian, telah banyak alasan yang diberikan dahulu. Semuanya dari gara-gara tidak suka berpakaian kemas. Kereta Azrul hilang dari kegelapan malam. Makcik Jah juga gembira kerana Azrul menurut kehendak ibubapanya untuk ke majlis tersebut.
Selama ini Azrul agak berdegil untuk menghadiri majlis sebegini, dia fikir majlis yang lebih mengutamakan kebendaan, taraf hidup dan kekayaan masing-masing. Makcik Jah tahu walaupun Azrul di lahirkan dalam keluarga yang mewah tetapi dia tidak suka memperbesarkan perkara dan keadaan mewah tersebut. Baginya cukuplah dengan kasih-sayang yang diberikan kepadanya dan alangkah bagus jika ibubapanya memberikan lebih tumpuan pada remaja sepi itu.
Selama dua puluh tahun Makcik Jah tinggal di kediaman Dato’ Malik dia tidak pernah merasa sunyi dengan kehadiran Azrul malah dia cukup gembira dan seronok, lebih-lebih lagi dengan telatah anak-anak remaja seperti Azrul. Azrul telah di anggap seperti anaknya sendiri, selalu di manja dan di sayangi. Makcik Jah pula tidak mempunyai keluarga.
Suami dan anak tunggalnya, Khairil meninggal dunia selepas mereka mengalami kemalangan jalan raya yang amat dahsyat. Berita kemalangan mereka pernah tersiar di televisyen tiga hari berturut-turut. Selama bertahun-tahun dia menderita. Sakit rindu. Sakit yang tidak tertanggung lagi. Namun dia cekal tabahkan hati. Makcik Jah tahu itu semua ketentuan Illahi. Dia tidak dapat mengelakkannya dan tabah menerima dugaan tuhan. Azrullah yang mengubati sakit rindu makcik Jah.
Suami makcik Jah dahulu pernah berkerja sebagai tukang kebun di rumah Dato’ Malik. Mereka sekeluarga berlindung di rumah besar mereka dari panas dan hujan atas belas kasihan dan perikemanusian keluarga orang kaya itu. Mereka bahagia tinggal di sini sampaikan Azrul turut memanggil makcik Jah sebagai ‘emak’ apabila dia selalu mendengar arwah Khairil memanggil emaknya.


Ring… ring… ring… ring… !!!! Lamunannya terhenti apabila deringan telefon berbunyi. Makcik Jah cepat-cepat beredar ke meja telefon.
“Helo... rumah Dato’ Malik... ya... ya... ada... sebentar ya...” Jawab makcik Jah lalu meletak semula gagang telefon ke atas meja seraya menjerit memanggil majikannya.
“Dato’ ooo Dato’... ada panggilan telefon”
“Ya... nanti saya turun” Balas Dato’ Malik lalu terus turun dari tingkat atas. Dia dan isteri baru balik dari funtion di hotel mewah di pusat bandaraya.
“Helo... ya... saya... Apa?! Benarkah apa yang encik katakan ini? Ya... Baiklah... Terima kasih kerana memberitahu saya.” Gagang telefon di letak semula. Dia termenung. Lama.
“Ada apa bang?” Soal Datin Zarina dari belakang.
“Anak awak tu buat hal.” Jelas Dato’ Malik sambil menghempaskan dirinya ke sofa. Datin Zarina mengekori suaminya. Pelbagai tanda soal di kota fikirannya.
“Apa yang terjadi pada Zul bang..?” Soal Datin Zarina ingin kepastian.
“Bergaduh... kata pengurus tu Zul luka-luka sikit...”
“Hah... Ya-Allah anak aku. Cepatlah bang kita jemput dia...” Jerit Datin Zarina lalu menarik lengan Dato’ Malik.
“Tak payahlah, bu. Nanti staff hotel tu hantarkan” Kata Dato’ Malik sambil mengeluh panjang.


Bromm... bromm... bromm....
“Hah, tu bang, dia dah balik....” Datin Zarina mengejutkan suaminya yang sedang termenung panjang. Dia tahu tentu suaminya sedang panas hati dan dia perlu melembutkan hati keras itu. Tapi bagaimana? Mengapa Azrul boleh jadi begitu. Dia lihat muka suaminya sudah bertukar menjadi merah padam. Cepat-cepat dia membuka pintu utama.
“Ya-Allah... apa yang jadi ni?” Tanya Datin Zarina sambil memimpin tangan Azrul ke ruang tamu.
“Apa dah jadi dengan kau hah?” Tengking Dato’ Malik. Azrul hanya mendiamkan diri. Dia tidak bermaya untuk bercakap, biarlah ayahnya sahaja yang membebel.
“Kenapa diam? Sudah tidak ada mulut?” Suara Dato’ Malik meninggi. Datin Zarina hanya menggeleng melihat suaminya yang seakan sudah bertukar menjadi harimau yang kelaparan.
“Apa abang ni? Tanya baik-baik tak boleh ke?”
“Awak diam, itulah awak membela sahaja budak mentah ni, memalukan aku sahaja” Bentak Dato’ Malik, mengerling tajam isterinya.
“Kita pula yang disalahkan. Budak ini baru balik, bukannya dia nak ambilkan kain basah, asyik membebel aje. Jah ooo Jah tolong ambilkan kain basah, cepat sikit” Pinta Datin Zarina kepada pembantu rumahnya di dapur. Makcik Jah segera menuruti arahan itu. Muka Azrul lebam dan darah merah memancut sedikit dikening anak muda itu. Dia hanya menahan sakit.
“Cuba Zul cerita perlahan-lahan dengan ibu, apa yang telah terjadi sehingga lebam-lebam ni?” Pujuk Datin Zarina.
“Mesti ada sebabnya bukan? Ada orang cari gaduh ye?” Ibunya meneka.
“Orang cari gaduh dulu ke atau kau?” Celah Dato’ Malik seakan menyindir.
“Bukan Zul yang cari fasal”
“Habis siapa? Budak tu terajang kau dulu?”
“Dia saja memalukan Zul dengan tetamu yang lain”Azrul membela diri.
“Memalukan kau? Memang patut pun, budak macam kau mana ada stail. Dahulu ayah suruh belajar, kau tidak mahu, kononya tak boleh masuk otak. Tapi sekarang? Apa yang terjadi? Anak Dato’ tu semua ada class, tapi kau? Kaki gaduh!!!”
“Ayah…!!!”
“Apa? Salah ke cakap ayah?”
“Memang benar apa yang mereka katakan, apa yang mereka caci, apa yang mereka hina. Semua benar ayah memang keras kepala, panas baran, ego dan selalu pentingkan diri sendiri…”
“Apa maksud kau, Zul?”
“Maruah keluarga. Fasal maruah keluargalah kitalah, saya sanggup bertahan. Saya sangka mereka cakap membabi buta tapi baru saya tahu, ayah memang hati busuk…” belum sempat Azrul menghabiskan ayatnya, satu tamparan kuat melayang ke pipi Azrul. Azrul jatuh telentang.
“Zul…!!!” Datin Zarina menjerit. Keadaan tegang sebentar. Ibunya masih keliru. Masih tidak faham apa yang di maksudkan oleh anaknya itu. Apa yang menyebabkan Azrul setuju dengan tohmahan orang-orang yang memukulnya tadi.
Azrul yang terbaring tadi bangkit semula lalu berdiri di hadapan ayahnya seraya berkata,
“Terima kasih, ayah…” Dengan tidak mempedulikan suasana ketengangan rumah itu, Azrul terus berlari ke daun pintu lalu mencapai kunci motorsikal yang tergantung di dinding dan terus beredar dari situ dengan perasaan yang amat pilu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia berani bertindak begitu. Tetapi darah muda seakan meluap-luap. Pantang di cabar pasti dia akan menyahut. Kalau tidak mereka berlima menyerang dia tadi sudah pasti dia dia akan menang. Silat yang di ajar oleh guru silat telah mengurangkan kecederan pada dirinya. Kalau tidak tentu tulang empat keratnya sudah patah riuk.
Dato’ Malik tergamam, begitu juga dengan Datin Zarina. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Hendak dipanggil sudah pergi, hendak di kejar sudah jauh. Mulut mereka seakan sudah terkunci rapat dengan gam. Masing-masing terpaku. Datin Zarina tidak sangka Azrul boleh bertindak begitu.
Tiga hari telah berlalu. Azrul masih tidak pulang ke rumah. Dato’ Malik dan Datin Zarina telah dua hari berangkat ke London, sebuah kota besar untuk menghadiri mesyuarat. Makcik Jah terasa sunyi. Dia sering sahaja teringatkan Azrul. Azrul telah membuatkan dia risau.
“Barangkali dia ke rumah rakan-rakannyalah tu…” Teka hati makcik Jah hanya untuk menyedapkan hatinya sahaja.
“Ahh… lebih baik aku mengemas di biliknya, nanti dia pulang tidak payah lah hendak kemas lagi…” Bisik hati kecilnya lagi.
Makcik Jah terus mengatur langkah ke bilik Azrul. Bilik itu kelihatan muram tanpa kehadiran Azrul. Makcik Jah terasa mahu menangis, akan tetapi dia tetap bertahan dari air matanya mengalir. Siapakah yang tidak menyayangi seseorang jika telah hidup bersama selama lebih sembilan tahun. Oh tuhan… sahaja yang tahu.
Makcik Jah mula menyusun majalah-malajah yang bertaburan di atas meja, tiba-tiba sebuah kotak kecil terjatuh. Mungkin Azrul meletakkannya terlalu tepi, sebab itulah ia terjatuh, fikir orang tua itu lagi.
Apabila makcik Jah berpaling ke bawah, dilihatnya bertabur botol-botol ubat yang berwarna putih. Makcik Jah membongkokkan badannya lalu melabuhkan punggungnya ke lantai.
“Ehh… ubat apa ni…? Sakit ke Zul? Bisik hatinya, ragu-ragu. Lalu dilihatnya satu persatu helaian kertas-kertas putih tadi. Terdapat tiga helai kertas di situ. Bola matanya tertarik dengan kertas yang ke tiga. Dengan teliti dia membaca barisan ayat di situ.
“Ya- Allah, benarkah apa yang aku baca ini?” Jerit makcik Jah seraya menangis.
“Kenapa? Kenapa Zul? Kenapa? Kenapa kau merahsiakannya dari kami? Ya-Allah, ya tuhanku, selamatkanlah anakku itu dari sebarang kemungkinan, kepadaMu Ya-Allah aku memohon…” Doa makcik Jah. Airmatanya tidak dapat di bendung lagi.
Ring… ring… ring… ring
Makcik Jah terkejut dengna deringan itu. Dia bergegas turun untuk mendapatkan telefon itu.
“Helo… ya… Dato’ Malik tiada… isterinya juga… kedua-dua out-station.. saya pembantu rumah mereka… ya… apa!!!… Ya-Allah… kemalangan.. macammana dia sekarang?… tenat? Baik saya datang segera”
“Setelah meletakkan gagang telefon, dia tergesa-gesake hospital. Makcik Jah tiba pada pukul sebelas setengah malam. Setibanya dia di kaunter, seorang doktor yang bernama Doktor Razali sedia menanti kedatangan makcik Jah.
“Doktor, bagaimana dengan keadaannya?”Makcik Jah tidak sabar bertanya.
“Keadaanya masih tenat” Jelas doktor itu.
“Tenat? Boleh saya berjumpa dengannya?”
“Maafkan saya, kami sedang membuat pemeriksaan lanjut. Sudahkah puan menghubungi kedua ibubapanya?”
“Sudah. Pagi ini mereka akan sampai…”
“Doktor Razali… Doktor Razali… Cepat!!! Jantung pesakit semakin lemah…” Seorang jururawat menjerit memanggil doktor tadi. Mukanya agak cemas.
“Mengapa doktor? Mengapa?” Soal Makcik Jah gelisah.
“Azrul puan… Azrul…Puan tunggu di sini sehingga ibubapa Azrul tiba ya. Saya nak tengok Azrul” Pesannya lalu bergegas lari dengan tergesa-gesa.
“Baiklah” Akur makcik Jah.
Dato’ Malik dan Datin Zarina sudah tiba di Kuala Lumpur. Mereka kemudiannya meluru keluar dari lapangan terbang untuk menaiki teksi ke hospital.
“Ya-Allah bang, macammana ni bang?”
“Sabar sahajalah”
“Macammana nak bersabar, anak kita sedang tenat tu…”
“Encik boleh cepat sikit tak?” Pinta Datin Zarina kepada pemandu teksi itu. Tidak lama kemudian mereka tiba di hospital. Tergopoh-gapah mereka naik ke tingkat atas selepas bertanya pada penyambut tetamu di ruang utama hospital.
“Hah itu pun dia Jah mari cepat bang…”
“Jah bagaimana keadaan anak aku, Jah?”
“Sabarlah datin. Hanya tuhan yang menentukan”
“Keadaannya masih tenat lagi ke Jah?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Datin Zarina.
“Ya datin… doktor masih merawatnya, Lagipun doktor Razali sudah hubungi doktor Hisyam… mari Dato’, Datin kita duduk di sana” Kata makcik Jah sambil memimpin tangan ibu Azrul. Dia kelihatan agak lemah tidak bermaya, mungkin kerana terlalu letih, berkejar ke sana ke mari. Mereka kemudiannya malabuhkan punggung masing-masing ke kerusi yang telah disediakan.
“Semua ini salah aku, aku tidak mempedulikan hal anak aku…” Suara Dato’ Malik seakan serak.
“Sudahlah Dato’ kita berserahlah padaNya…”
“Jah mengapa Azrul sampai begitu teruk?”
“Entahlah Datin, semalam dalam panggilan telefon mereka kata Azrul mendapat kemalangan tetapi tidaklah terlalu serius sangat…mungkin fasal… fasal…” Makcik Jah ragu-ragu.
“Fasal apa?”Dato’ Malik mencelah.
“Fasal … fasal satu perkara dia telah menjadi tenat To’…”
“Satu perkara? Apa dia Jah?”
“Dia… dia ada penyakit…”
“Penyakit? Panyakit apa? Cakap Jah… Cakap…”
“Ba… ba… barah… otak…”
“Barah otak!!!. Ya-Allah, benarkah semua ini? Abang anak kita bang…anak kita…” Jerit Datin Zarina samabil menangis, dia tidak dapat menahan rasa sedih ini. Dato’ Malik hanya mendiamkan diri. Dia agak tergamam mendengar berita itu.
“Azrul, anak Datin sentiasa kesunyian, tekanan perasaan, tekanan keluarga dan peristiwa dua tahun lepas yang menyebabkan Azrul pengsan selama dua minggu itu” Luah makcik tanpa ragu-ragu.
“Apa…!!!!” Dato’ Malik tersentak.
“Ya… kepalanya retak…” Akuan makcik Jah.
“Ya-Allah…” Jerit kedua orang berada itu sambil berpelukan sesama sendiri.
“Tidak ada gunanya kita menangis lagi. Tangisan dan penyesalan tidak dapat diselesaikan. Semuanya telah berlaku, kita sebagai ibubapa sama-sama bersalah dalam hal ini. Kata doktor, Azrul tidak dapat hidup lebih lama, hanya setahun dia dapat bertahan, tetapi kemalangan ini yang telah menyebabkan segala-galanya berlaku…itupun ketentuan Illahi.”
“Maafkan ayah Zul. Ayah tidak sengaja menyakiti hati aku dan tidak pernah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya  kepada kau dalam masa sesingkat ini. Maafkan ayah…Zul…” Dato’ Malik berkata dengan nada kesal sambil mendakapkan kedua belah tangannya ke muka.
Sememangnya dia menyesal dengan perbuatannya tetapi nasi telah menjadi bubur. Azrul kini tinggal nyawa-nyawa ikan.
Dalam masa lima belas minit itu keadaan sungguh memilukan. Mereka menangis sesama sendiri. Tepat jam empat lima pagi. Sedang makcik Jah, Dato’ Malik serta Datin Zarina malayan perasaan masing-masing, doktor Hisyam menuju ke arah mereka.
“Abang itu doktor bang...”
“Doktor Hisyam, bagaimana keadaan anak saya, Azrul?”
“Azrul… Azrul… dia…”
“Mengapa doktor? Mengapa?” Soal Datin Zarina menangis sambil menarik baju doktor Hasyim.
“Maafkan kami, kami telah sedaya-upaya, hanya Allah yang lebih sayangkannya”
“Apa!!! Apa maksud kau hah, apa?” Jerit Datin Zarina yang tidak dapat mengawal perasaan dan diri sambil menarik-narik baju putih doktor itu.
“Buatlah persiapan pengebumiannya segera”
“Azrul… Azrul anak aku…” Jerit Datin Zarina lalu jatuh tidak sedarkan diri.


Hak Cipta Terpelihara
Zaihas77
22 August 2000
1.47 p.m

No comments: